Ahad, 27 Februari 2011

'Keluarga Teoh rugi kerana jauhi Suruhanjaya Diraja

BERNAMA

Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock akan rugi kerana tidak mengambil bahagian dalam Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat kematiannya kerana ia akan memberi mereka ruang untuk menzahirkan pendapat dan membantu suruhanjaya itu memperoleh gambaran sebenar, kata seorang ahli akademik perundangan.

Pensyarah Fakulti Undang-undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek, ketika memberi pandangan peribadinya berhubung perkara itu, berkata penasihat undang-undang keluarga mendiang seharusnya memberi nasihat sewajarnya memandangkan keluarga mendiang Teoh mungkin tidak menyedari peluang berharga yang berkemungkinan hilang.

NONETeoh, 30, pembantu politik anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang terletak di tingkat 14.

"Amat malang sekali apabila keluarga itu, yang telah memohon supaya suruhanjaya itu ditubuhkan dan selepas permohonan mereka dipenuhi, memutuskan untuk menarik diri, mengakibatkan kehilangan masa yang berharga dan wang pembayar cukai," kata Abdul Halim kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penubuhan Suruhanjaya Diraja itu bertujuan mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku dan mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa sahaja memberi keterangan demi mencari kebenaran.

"Keluarga itu akan menjadi tumpuan siasatan dan mereka seharusnya mengambil bahagian," tegas beliau.

NONEMengenai pelantikan Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen sebagai pengerusi suruhanjaya itu, Halim berkata tiada sebarang perkara yang mencadangkan bahawa seseorang yang memegang jawatan hakim tidak boleh mempengerusikan sebuah suruhanjaya siasatan.

"Terdapat banyak suruhanjaya siasatan di UK yang dikendalikan oleh hakim terkemuka seperti Lord Denning dan Lord Scarman, yang ketika itu memegang jawatan hakim, dan ia tidak pernah menjadi isu. Jadi apabila dengan Hakim James Foong, kenapa ia menjadi isu?" tanya beliau.

"James Foong ialah seorang hakim yang tegas dan mempunyai reputasi yang baik. Tidak perlu ada sebarang isu berhubung pelantikan beliau," katanya.

Mengenai pegawai pengendali suruhanjaya itu yang dibawa dari Pejabat Peguam Negara, Halim berkata peranan mereka dalam siasatan itu agak berbeza daripada tugas mereka di Pejabat Peguam Negara.

azlan"Peranan mereka adalah untuk membantu Suruhanjaya Siasatan mengenal pasti punca kematian Teoh Beng Hock dan pelantikan mereka dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam tempoh tiga bulan akan datang, mereka dilepaskan daripada tugas-tugas di Pejabat Peguam Negara dan perlu memberi tumpuan kepada suruhanjaya berkenaan. Oleh itu, tuduhan dan sindiran bahawa mungkin bersikap berat sebelah adalah terkeluar sepenuhnya daripada konteks," katanya.

Mengenai langkah Peguam Negara untuk memohon semakan semula keputusan terbuka yang dibuat oleh Koroner, Halim percaya bahawa Peguam Negara, ketika membuat permohonan itu, bebas daripada siasatan berkenaan.

"Tindakan Peguam Negara memohon suatu semakan sama seperti meminta pendapat kedua. Hakim bebas untuk membuat keputusan secara bebas sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Koroner, yang bukanlah konklusif, memandangkan Koroner tidak memutuskan sama ada membunuh diri atau dibunuh.

"Ketika perkara ini masih dalam proses, kerajaan membuat keputusan untuk menubuhkan suruhanjaya berkenaan, yang bebas daripada apa juga keputusan yang dibuat oleh mahkamah," kata Halim.


Tiada ulasan: