Isnin, 27 Disember 2010

SPRM Pulau Pinang tahan ketua jabatan, pengurus kanan disyaki rasuah

BERNAMA

GEORGE TOWN — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang ketua jabatan berpangkat pengarah dan seorang pengurus kanan sebuah perbadanan kerajaan negeri kerana dipercayai terlibat dalam rasuah.

Pengarahnya Datuk Latifah Md Yatim berkata pihaknya menahan pengarah berusia 44 tahun yang bertugas di Seberang Perai itu pada kira-kira pukul 10 pagi di pejabat SPRM negeri.

Pengurus kanan itu ditahan pada pukul 1 petang di sebuah balai polis di sini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pengarah yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 20 tahun itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang kontraktor pada tahun 2008 dan 2009.

“Dia yang bertugas di negeri ini sejak 2008 disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM16,325 sebagai deposit sebuah kenderaan daripada seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikkan dan penyelenggaraan pejabatnya,” katanya.

Latifah berkata pengarah berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di Kulim, Kedah.

Katanya pengarah itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah, esok, katanya.

Beliau berkata manakala pengurus kanan berusia 53 tahun itu disyaki telah memalsukan dokumen pada Ogos 2008.

“Dia yang diberi tanggungjawab menguruskan bahagian kewangan melalui satu memo telah membayar tuntutan yang dibuat oleh sebuah syarikat berhubung dengan pembekalan alatan modul komunikasi bernilai RM5,700 untuk dipasang dalam system perakam waktu sedangkan alatan tersebut tidak dibekalkan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau berkata pengurus kanan itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town di sini esok.

Tiada ulasan: