Selasa, 28 Disember 2010

Pemimpin Selangor akur

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri, Dr Badrul Amin berkata, beliau akur dengan keputusan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru menggantikan menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Pelantikan Mohd Khusrin yang berkuat kuasa 1 Januari 2011 itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita akur dengan pelantikan itu dan yakin Tuanku ada kebijaksanaan dalam melakukan pelantikan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Badrul berharap, kerjasama erat akan diperolehi daripada Ketua Setiausaha Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor akan bertambah baik.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan, berkata, Mohd Khusrin yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kajang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Tempat Mohd Khusrin di Jais akan diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin, 56, juga mulai 1 Januari 2011.

Mohd Sidek berkata, pelantikan Mohd Khusrin dan Marzuki telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tiada ulasan: