Jumaat, 31 Disember 2010

Ketua Polis Negeri diarah pastikan indeks jenayah turun tahun depan

TERKINI
BERNAMA


IPOH — Semua ketua polis negeri diarah mengambil langkah yang lebih konkrit bagi memastikan sasaran pengurangan indeks jenayah yang ditetapkan tercapai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata buat masa ini rakyat masih belum yakin sepenuhnya dengan keupayaan polis dalam mencapai sasaran itu.

“Saya menyedari bahawa rakyat negara ini masih dihantui dengan kes-kes jenayah, dan yang penting kita teruskan usaha,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan mensasarkan pengurangan 20 peratus untuk indeks jenayah jalanan dan lima peratus untuk jenayah keseluruhan pada penghujung tahun ini.

Ismail juga yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mencapai sasaran yang ditetapkan itu.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta semua peringkat dalam PDRM memantapkan pasukan khususnya daripada segi tata tertib.

“Saya percaya pada hari ini modal insan berada dalam keadaan baik tetapi masih lagi berlaku satu dua kes yang tidak elok yang boleh mencemar keseluruhan kebaikan yang dilakukan oleh PDRM,” katanya.

Ismail sebelum itu hadir pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak antara pemangku Datuk Zakaria Yusof yang juga Timbalan Ketua Polis Perak dan Datuk Mohd Shukri Dahalan.

Mohd Shukri yang sebelum ini Ketua Polis Terengganu dilantik mengetuai polis Perak menggantikan Datuk Zulkifli Abdullah yang bertukar ke Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: