Jumaat, 31 Disember 2010

Jais diskriminasi terhadap Syiah

FREE MALAYSIAN TODAY

jaisKUALA LUMPUR: Pemimpin mazhab Syiah tempatan hari ini memprotes terhadap tindakan diskriminasi pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap para pengikutnya ketika 200 ahli ditahan dan mendakwa mereka melanggar undang-undang Islam.

Ustaz Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz berkata mereka menghantar surat protes kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) selepas premis mereka di Taman Sri Gombak diserbu oleh Jais pada 16 Disember lalu.

"Para pegawai berkenaan memecah masuk dan merosakkan dewan solat yang merupakan harta persendirian dan di mana kami sedang mengadakan ibadat khusus bagi memperingati Ahlul Bait Rasulullah saw.

"Jika komuniti lain seperti Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain mempunyai hak untuk beribadat dan mempraktikkannya di bawah Perlembagaan Persekutuan, kenapa kami tidak boleh," katanya.

"Kami dikritik, dihina, difitnah dan diugut dalam media tempatan hanya kerana kami mempraktikkan apa yang telah diamalkan oleh datuk nenek keturunan kami yang bermazhab Syiah dan telah menetap di Malaysia sejak berkurun-kurun lamanya.

40,000 pengikut Syiah di Malaysia

Kamilzuhairi berkata terdapat kira-kira 40,000 pengikut Syiah di Malaysia tapi kebanyakannya beramal secara tertutup kerana bimbang difitnah dan menjadi sasaran pihak berkuasa.

Seorang pegawai dari jabatan agama Islam, yang enggan namanya disiarkan, berkata mereka yang ditahan termasuklah rakyat Pakistan, Iran dan Indonesia, yang telah pun dibebaskan dengan ikat jamin.

Beliau berkata penyiasatan masih berjalan dan kumpulan itu akan didakwa kerana tidak mengikut mazhab Islam Suni, yang dianggap mazhab Islam yang sah di Malaysia.

Syiah mewakili 15% dari masyarakat Islam di seluruh dunia. Syiah merupakan penduduk majoriti di Iraq, Iran dan Bahrain dan mewakili sejumlah besar penduduk Afghanistan, Lebanon, Pakistan dan Arab Saudi.

Orang-orang Syiah percaya Imam Ali bin Abi Talib sepatutnya dilantik menggantikan Rasulullah saw dan bukan sahabatnya Khalifah Abu Bakar. Masyarakat Suni percaya sesiapa yang beranggapan bahawa Abu Bakar sebagai perampas jawatan khalifah sebagai menghina sahabat

- AFP

Tiada ulasan: