Isnin, 27 Disember 2010

Isa Samad enggan ulas laporan dilantik sebagai pengerusi Felda

BERNAMA

SEREMBAN — Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad enggan mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini bahawa beliau akan dilantik sebagai pengerusi Felda yang baru.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, katanya setakat ini beliau belum menerima apa-apa makluman mengenainya dan hanya mengetahuinya menerusi laporan akhbar tersebut.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik sumber, Mohd Isa bakal mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang akan tamat kontrak pada 31 Dis ini.

Laporan itu menyebut pengumuman mengenai pelantikan rasmi Mohd Isa akan dibuat dalam tempoh terdekat ini. Mohd Isa, 61, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO.

Mohd Isa kini merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang setelah memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Okt 2009.

Tiada ulasan: