Jumaat, 31 Disember 2010

DUN Tenang: Wanita antara ditimbang jadi calon

BERNAMA

LABIS — Seorang wanita adalah antara yang disenaraikan untuk dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang akhir bulan depan.

“Beliau merupakan bekas seorang guru, anak tempatan, dan memegang jawatan di cabang tempatan parti itu,” kata satu sumber kepada Bernama hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada Barisan Nasional akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember lepas. Penamaan calon ialah pada 22 Januari.

Pada pilihan raya umum 2008, allahyarham Sulaiman yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Labis menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,491 undi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Tenang, Dzulkefley Ahmad, ketika dihubungi berkata, kemungkinan PAS meletakkan calon wanita hanyalah satu khabar angin kerana keputusan mengenai siapa calon PAS akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti tidak lama lagi.

Namun, katanya, nama pemimpin wanita itu terdapat dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon.

Tiada ulasan: