Jumaat, 31 Disember 2010

28 Januari hujah penggulungan kes Aminulrasyid


Aminul rashidOleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Jenayah hari ini menetapkan 28 Januari depan bagi mendengar hujah penggulungan kes remaja Aminulrasyid Amzah mati akibat ditembak polis selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) menutup perbicaraan kes tersebut petang tadi.

Hakim Latifah Mohd Tahar semasa keputusan dalam kamarnya turut menetapkan 24 Januari depan bagi kedua-dua pihak pendakwa raya dan pembelaan memfailkan hujah penggulungan selepas selesai mendengar keterangan saksi terakhir perbicaraan iaitu pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sebelum itu, DPP Mohd Dusuki Mokhtar semasa memohon untuk menutup perbicaraan kes tersebut turut menawarkan 30 saksi yang disenaraikan kepada pihak pembelaan jika terdapat sebarang keputusan daripada hakim supaya tertuduh, Koperal Jenain Subi membela diri.

Seramai 39 saksi dikemukakan pihak pendakwa raya dan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, saksi ke-38 ASP Abdul Halim Ismail semasa menyambung keterangannya memberitahu mahkamah tembakan terpaksa dilepaskan jika kereta yang dikejar tidak mampu dihentikan.

Cara berhentikan kereta yang laju

"Apakah cara yang terbaik bagi polis untuk berhentikan kereta yang laju dalam keadaan fakta kes ini," soal Dusuki.

"Cuba kejar dan berhentikan kereta semana yang mampu. Kalau tak mampu, lepaskan sahaja," kata Halim.

Halim turut bersetuju dengan pertanyaan Dusuki bahawa tiada undang-undang dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membenarkan polis menggunakan senjata api untuk memberhentikan sesuatu kenderaan yang dikejar.

Namun beliau menegaskan penggunaan senjata dibolehkan apabila merujuk kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara D222 jika pihak polis berada dalam kedudukan terancam.

Katanya, tiada cara lain (dalam keadaan terdesak) melainkan tembakan terpaksa dilepaskan kearah bahagian belakang kereta untuk memberhentikan kereta yang dikejar.

Jika enggan berhenti, dianggap penjenayah

Beliau ketika ditanya peguam bela M Athimulan berkata, seseorang boleh dianggap penjenayah jika kereta yang dikejar itu enggan berhenti walau disuruh berbuat demikian.

"Jika dia lari pantas tapi tahu polis kejar dan tidak mahu berhenti, kita anggap ia adalah penjenayah," katanya.

Selain itu, mahkamah turut mendengar keterangan daripada saksi ke-39 Detektif Koperal Zainon Harun daripada Cawangan Jenayah IPD Shah Alam.

Zainon yang juga saksi terakhir merupakan individu yang bertanggungjawab menghubungi trak penunda luar supaya mengangkut kereta yang dipandu Aminulrasyid pada malam kejadian pada 26 April lalu.

Jenain, 48 dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: