Sabtu, 27 November 2010

Surat pecat Jenapala palsu, akui bekas timbalan SU Agung PKR

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Bekas timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jonson Chong hari ini mendakwa parti itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memecat seorang lagi bekas timbalan setiausaha agung parti itu P. Jenapala.

Beliau berkata ‘surat pemecatan’ itu sebenarnya adalah palsu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

PKR sedang melangsungkan kongres nasional mereka di Petaling Jaya.

“Apa yang benar-benar menjijikkan saya ialah hakikat bahawa saya tahu seseorang di ibu pejabat parti tahu bahawa surat itu palsu. Ia dibuat bagi menutup kesilapan tidak disengajakan oleh seseorang apabila mereka mengatakan Jenapala (gambar) telah dipecat dalam bulan Februari 2009,” kata Chong dalam blognya hari ini.

Chong menjelaskan bahawa beliau merupakan timbalan setiausaha agung yang bertanggungjawab membantu lembaga disiplin menangani kes yang dirujuk kepada mereka oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau berkata ketika isu Jenapala timbul semasa pemilihan parti, seseorang dari ibu pejabat telah menghubunginya dan bertanya jika terdapat surat dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya.

“Saya kata tidak ada surat sedemikian dan tidak ada keputusan untuk memecatnya. Yang ada hanya keputusan untuk memecat beliau secara prinsip iaitu jika dia benar-benar didapati terlibat dengan pembentukan satu parti politik yang baru.

“Kemudian, tahu-tahu sahaja saya melihat ada surat yang ditandatangani setiausaha agung parti terdahulu, yang kononnya dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya pada Februari 2009. Saya jadi bungkam,” kata beliau calon kerusi naib presiden ini, yang turut menarik diri daripada bertanding.

Chong berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa surat itu palsu, dan tercengang kerana PKR sanggup berbuat demikian bagi menutup kesilapan yang tidak disengajakan, yang sepatutnya dijelaskan kepada media sebelum beralih ke perkara lain.

Semalam, bekas setiausaha agung PKR Datuk Salehuddin Hashim membuat laporan polis kerana mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam surat pemecatan Jenapala.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung surat bertarikh 2 Feb 2009, yang kononnya ditulis dan ditandatangani Salehuddin.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman Jenapala terhadap tiga pemimpin PKR berhubung jawatan timbalan presiden parti itu.

Menerusi saman pemula pada 18 November lepas, Jenapala berkata beliau ingin mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Tiada ulasan: