Isnin, 29 November 2010

Konvensyen DAP Selangor lulus tujuh resolusi

BERNAMA

dapPETALING JAYA: Konvensyen DAP Selangor ke-16 pada Ahad meluluskan tujuh resolusi termasuk menggesa kerajaan pusat menerima tawaran kerajaan Selangor untuk mengambil alih empat syarikat air di negeri ini bagi mengurus perkhidmatan air secara lebih berkesan.

Empat syarikat itu ialah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abass Sdn Bhd.

Parti itu juga meminta kerajaan Selangor membuat kajian mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengambil langkah meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian PBT dan agensi kerajaan negeri ini.

Resolusi itu meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa dan menggunakan keganasan semasa menjalankan siasatan dan menyemai konsep hak asasi manusia di kalangan pegawai berkenaan.

DAP Selangor juga menggesa pemimpin pakatan pembangkang di semua peringkat di Selangor bersatupadu dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ia turut menyeru kerajaan Selangor memperuntukkan tanah bagi Sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di negeri ini bagi mengatasi kesesakan dan kekurangan kedua-dua jenis sekolah itu di sesetengah tempat di negeri ini.

Seramai 812 perwakilan daripada 1,016 anggota menghadiri konvensyen itu yang dirasmikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.


Tiada ulasan: