Selasa, 30 November 2010

51 penagih dadah di Keningau dikesan sejak Januari hingga November

KENINGAU KINI

KENINGAU: Seramai 51 penagih dadah di kesan di daerah ini sejak Januari hingga November tahun ini membabitkan 49 lelaki dan dua perempuan. Pengerusi Pemadam Daerah Amat Mohd. Yusof berkata, 89 peratus daripadanya adalah belia tempatan termasuk mereka yang sudah berkahwin.

Amat yang juga Pegawai Daerah Keningau menyatakan perkara itu semasa berucap mewakili Pembantu Menteri Pembagnunan Luar Bandar yang juga Adun Liawan, Datuk Haji Sairin Haji Karno, merasmikan Program Tabah Pemadam anjuran Biro Latihan Pemadam Daerah Keningau dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) GDW Kg. Meninimpir di mini dewan kampung itu pada Rabu.

Katanya, sehubungan dengan ini penglibatan masyarakat di daerah ini terutama pemimpin-pemimpin masyarakat perlu bagi membanteras penagihan dadah kalangan golongan belia tempatan.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi mengawasi anak-anak agar tidak terjerumus dalam kegiatan penagihan dadah yang telah diisytiharkan oleh kerajaan sebagai musuh nombor satu negara.

“Jika melihat tingkahlaku golongan belia mahupun remaja yang mencurigakan di kawasan masing-masing buat laporan segera kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang kini sudah berpejabat di tingkat bawah bangunan Urus setia Daerah Keningau dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Keningau,” kata Amat.

Dalam masa yang sama Pegawai Daerah itu meminta supaya persatuan belia ditubuhkan diperingkat kampung bagi membolehkan belia menjalankan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Katanya, dengan adanya persatuan belia di kampung dapat menangani anasir-anasir yang jahat yang boleh meruntuhkan akhlak belia.

Amat dalam ucapannya juga menekankan supaya anak-anak menghormati ibu bapa mereka sebagai landasan untuk menjalani kehidupan mereka.

Program Tabah Pemadam itu dihadiri oleh kira-kira 100 orang terdiri dari pemimpin-pemimpin masyarakat, golongan belia dan penduduk Kg. Meninimpir.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran George Kandavu, Ketua Daerah Keningau OKK Amir Datuk Hj. Arif, Setiausaha Pemadam Daerah Keningau Johari Tahir dan Ketua Anak Negeri Mukim Patikang Ujoh Iyai dan Pengerusi JKKK Kg. Meninimpie, Zulkhaira Maidin.

Pengisian program itu adalah ceramah bahaya penyalahgunaan dan penagihan dadah oleh Jabatan Kesihatan Keningau, pameran dadah oleh Jabatan Siasatan Narkotik IPD Keningau dan kempen derma darah oleh Unit Tranfusi Darah Hospital Keningau.

Tiada ulasan: