Khamis, 28 Oktober 2010

"Tanam tebu dibibir mulut" – Pemupa


penan man_250_250Oleh Joseph Tawie

MIRI: Rancangan kerajaan untuk penempatan semula 1,000 orang masyarakat Penan yang terbabit dengan projek Empangan Murum di kawasan seluas 24,000 hektar disifatkan sebagai "menanam tebu dibibir mulut".

"Kami tak tahu bagaimana kerajaan memutuskan untuk kawasan seluas itu tanpa berunding dengan kami terlebih dahulu," kata Ramlie Bujang, jurucakap Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Penan Peleiran-Murum (Pemupa).

Menteri Pembangunan Tanah James Jemut Masing baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan mengasingkan 24,000 hektar tanah di hilir Murum untuk masyarakat Penan. "Pengumuman ini merupakan satu lagi janji manis menteri," kata Ramlie.

Pemupa mewakili lebih 1,000 penduduk dari enam kampung Penan: Long Singu, Long Luar, Long Tangau, Long Pelutan (Menapa), Long Malim, Long Wat termasuk masyarakat Kenyah-Badeng dari Long Umba yang terlibat secara langsung dengan projek Empangan
Murum itu.

Hutan tebal semula jadi

Masyarakat Penan memberi cadangan dan memberitahu kerajaan tentang kawasan penempatan semula yang menjadi pilihan mereka, yang mengandungi hutan tebal semula jadi yang luas.

Ini termasuk kawasan Sungai Metalon di hilir Peleiran seperti yang dicadang oleh empat kampung – Long Singu, Long Luar, Long Tangau dan Long Pelutan (Menapa), di kawasan hilir Sungai Tegulang seperti yang dicadang oleh kampung Long Wat dan hilir kawasan Malim-Danum seperti yang dicadang oleh kampung Long Malim dan Long Umba.

Beliau berkata kawasan-kawasan yang dicadangkan oleh masyarakat Penan itu sebagai kawasan-kawasan penempatan semula mereka ialah kerana kawasan-kawasan tersebut masih kaya dengan sumber hutan semula jadi bagi menampung kehidupan seharian mereka.

"Kami mahu hutan di kawasan-kawasan ini dikekalkan dan bebas dari sebarang bentuk aktiviti pembangunan seperti pembalakan dan peladangan berskala besar," terang beliau.

Tiada ulasan: