Khamis, 28 Oktober 2010

Skrip lama isu agama, kerjasama PAS-DAP muncul lagi di Galas



Kain rentang mempersoalkan kerjasama DAP-PAS dan pendirian Pengerusi DAP Karpal Singh yang digantung di kawasan Gua Musang. PAS dakwa taktik itu digunakan oleh BN.

GUA MUSANG — PAS menuduh Barisan Nasional (BN) sanggup melakukan apa sahaja bagi mencari kemenangan termasuk menggunakan isu agama sebagai alat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Sebagaimana pernah disaksikan ketika beberapa pilihan raya terdahulu termasuk di Hulu Selangor, kerjasama PAS dan DAP di bawah Pakatan Rakyat muncul lagi kali ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata, BN akan menggunakan isu agama untuk menjatuhkan PAS dan mendapatkan sokongan daripada pengundi.

“BN bukan sahaja akan gunakan isu agama untuk jatuhkan PAS tetapi sanggup gunakan apa sahaja cara dan isu termasuk isu perkauman.

“Bukan ada peraturan dalam BN, bagi mereka semuanya halal.

“Ini menunjukan BN sudah ketandusan isu apabila sanggup menggunakan isu agama dalam kempen mereka. Kita sudah tahu budaya BN, mereka sanggup gunakan agama untuk jatuhkan lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu kain rentang yang dipamerkan di tepi jalan tertulis “’Karpal Singh Hina Perjuangan Islam’, Kenapa PAS masih menyokong DAP (Harbi)?”

Kain rentang itu juga mempamerkan laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh bertajuk “Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu — Karpal Singh”.

Dalam ceramah pertama kelmarin selepas kempen bermula, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu dan DAP menjalankan kerjasama selama ini adalah untuk membawa perubahan kepada negara.

Dalam mencapai matlamat itu kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi “jambatan” antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

“Walaupun DAP bukan parti Islam tapi PAS menjalin kerjasama dengan DAP kerana mahu melakukan perubahan terhadap pimpinan kerajaan sekarang,” kata beliau.

Kerjasama PAS dan DAP menjadi kritikan Umno termasuk ketika Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Abdul Fatah juga berkata isu yang dibangkitkan ini adalah perkara lama dan rakyat sudah mengetahui perkara sebenar kerjasama antara PAS dan DAP.

“Itu cerita lama, buat apa nak bangkitkan perkara lama. Kalau nak bangkitkan juga susahlah.

“Terpulang kepada BN nak buat macam mana pun, ia tidak beri kesan kepada PAS. Rakyat sudah tahu perkara itu, mereka sudah cerdik. Saya percaya mereka tidak akan tertipu dengan taktik BN ini,” katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah. Pengundian diadakan 4 November ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu yang mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS pula menurunkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Tambah Abdul Fatah, PAS dan BN sepatutnya berperang dengan menggunakan isu, bukan menggunakan agama sebagai alat untuk menjatuhkan lawan.

“Kalau sebelum ini BN kata PAS ketandusan isu tapi sekarang nampaknya lain pula ceritanya.

“Jadi mari kita lawan siapa yang mempunyai lebih banyak isu, tengok siapa yang menang,” katanya.

Tiada ulasan: