Jumaat, 29 Oktober 2010

Rakyat Malaysia Tolak Cadangan Bina Loji Nuklear

Oleh Fazli Othman

Loji_Nuklear06KUALA LUMPUR - Tidak sampai satu perempat atau hanya 23 peratus rakyat Malaysia menyokong cadangan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk membina loji nuklear sebagai sumber tenaga baru negara yang dimasukkan sebagai salah satu daripada 113 projek di dalam Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan oleh Perancang Unit Pengurusan dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Lee Hoy Sian majoriti rakyat sebanyak 59% pula memilih tenaga solar sebagai tenaga alternatif tetapi pendapat tersebut tidak diambil peduli.

"Adakah kerajaan pada dasarnya sahaja ingin membina loji nuklear ini tetapi hakikatnya masih belum bersedia memandangkan beberapa faktor utama yang tidak dinyatakan dengan jelas.

"Adakah kita telah mempunyai tenaga kepakaran yang mencukupi tanpa bergantung kepada kepakaran luar.

"Berkenaan bahan mentah pula iaitu uranium, negara kita bukan pengeluar bahan itu dan kita sangat bergantung kepada import. Adakah rang undang-undang berkaitan nuklear dapat menjamin keselamatan rakyat kita?," soalnya ketika sesi perbahasan Bajet 2011, petang semalam.

Beliau turut meminta penjelasan sama ada negara mempunyai jumlah tenaga mahir yang cukup untuk mengendalikan tenaga nuklear.

Hoy Sian turut meminta kerajaan menyatakan sama ada kerajaan akan menyediakan kemudahan logistik sebelum dan selepas loji tersebut dibina.

"Kita dalam hal ini sangat bergantung kepada kepakaran luar dan juga sistem pelupusan sisa radioaktif, adakah kita mampu untuk mengendalikan sisa nuklear ini dan apakah langkah keselamatan yang perlu dibuat dan sebagainya.

"Bahkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengatakan kerajaan belum memuktamadkan cadangan ini sedangkan pada masa yang sama, program nuklear ini telah termaktub sebagai salah satu projek ETP yang diumumkan oleh Pemandu.

Apa yang peliknya kata beliau, program yang melibatkan kepentingan negara dan nyawa rakyat yang cuba dilaksanakan masih lagi kabur, tidak mantap dari segi hala tuju dan goyah dari segi perancangan.

Tiada ulasan: