Sabtu, 30 Oktober 2010

Puting beliung landa Kangar

BERNAMA


Lebih 50 buah rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi dekat Kangar rosak akibat angin puting beliung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis Mansor Jusoh berkata kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan kerugian sekitar RM100,000.

Baitul Mal Perlis dan Unit Pembangunan Insan Perlis akan membantu mereka yang terlibat membaiki rumah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerugian sebenar, katanya kepada pemberita ketika melawat mereka yang terlibat hari ini.

Katanya walaupun sebuah pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi, kebanyakan penduduk lebih selesa tinggal sementara bersama saudara-mara.

Sementara itu seorang penduduk, Rohana Abdul Rahman, 52, berkata ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.

"Saya melihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan pecah dan bumbung diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, semua yang terlibat hari ini menerima bantuan awal daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 seorang dan beras.


Tiada ulasan: