Khamis, 28 Oktober 2010

Kutipan hasil pasir di Selangor meningkat

FREE MALAYSIA TODAY

tskibSHAH ALAM: Pendapatan hasil pasir kerajaan Selangor meningkat 11% dari RM13.76 juta pada keseluruhan tahun 2009 kepada RM15.3 juta dari Januari hingga Jun 2010, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata pendapatan itu termasuk bayaran royalti dan keuntungan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat kerajaan negeri yang menguruskan perniagaan pasir di negeri itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini semalam, beliau berkata KSSB telah memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8 juta pada tahun lepas manakala keuntungan sebelum cukai pada enam bulan pertama tahun ini ialah RM10.3 juta.

Khalid berkata, usaha memantau dan membanteras operasi perlombongan haram melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak polis.

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersama terlibat dalam operasi sebegini.

Menurut beliau, sejak Januari hingga 26 Oktober lalu, sebanyak 96 tangkapan dibuat oleh PTGS dan PDT kerana kesalahan perlombongan tanpa lesen.

"Tangkapan tersebut dilakukan di beberapa lokasi "hotspot" yang dikenalpasti menjadi tumpuan penyangak pasir. Tempat "hotspot" tersebut menjadi tumpuan pencuri pasir kerana kualiti pasir dan permintaan pasir yang tinggi di pasaran dewasa ini," terang beliau.

Ujar beliau, "kita mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri adalah bersih dan berada di landasan yang betul serta tidak lagi wujud unsur-unsur rasuah, salah urus tadbir dan pembaziran."

Tiada ulasan: