Jumaat, 29 Oktober 2010

"Kontrak rahsia" PKR dan DAP?


1 a zulkifli nordinDi sekitar Dewan Rakyat

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bebas-Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin semalam mengejutkan ahli-ahli Dewan Rakyat apabila beliau mendakwa terdapat "kontrak rahsia" di antara PKR dan DAP untuk mengekal kuasa orang-orang Cina jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Ketika membahaskan Bajet 2011, Zulkifli, bekas MP PKR berkata kontrak itu, di mana PAS menyatakan "mereka tidak tahu", menjanjikan kepada para pemimpin Cina bahawa DAP akan diberi "kuasa autonomi" di Pulau Pinang.

Tujuan beliau mendedahkan perkara ini katanya, kerana pemimpin-pemimpin Cina dalam DAPlah yang sepatutnya dipersalahkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 sejurus selepas DAP dan Gerakan menang dalam pilihan raya umum tahun tersebut.

"Manakala calon Melayu akan diletakkan di Negeri Sembilan dan Perak. Dan jika mereka menang (dikedua-dua negeri itu), mereka akan melantik menteri besar dari kalangan pemimpin DAP untuk menerajui kedua-dua negeri itu," dakwa beliau.

Zulkifli, yang melabel DAP sebagai "parti yang dijangkiti penyakit chauvinis" bagaimanapun tidak memberi butir-butir lanjut tentang "kontrak rahsia" itu kerana ucapan beliau diberhentikan oleh Speaker Wan Junaidi Jaafar.

Sejarah 13 Mei

Terdahulu, beliau mencadangkan supaya generasi muda diajar mata pelajaran sejarah tentang peristiwa berdarah 13 Mei supaya mereka didedahkan dengan kebenaran, mengenai kedua-dua parti ini, terutama DAP.

Beliau berkata, parti itu (DAP) memainkan "lagu rentak lama" dengan menghasut kebencian terhadap orang-orang Melayu walaupun telah diberi "amaran" oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga berlakunya pergaduhan kaum.

"Beliau secara khusus memberi amaran kepada DAP supaya tidak mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta lain berkaitan hak Melayu.

"Jika parti itu terus menerus mempersoalkan hal ini maka rusuhan kaum akan berlaku dan keamanan dan keharmonian di negara ini akan hancur," katanya.

"Dan inilah sebenarnya apa yang DAP lakukan," kata Zulkifli, yang suatu ketika dahulu rapat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Kenyataan Najib di salah erti

Zulkifli mempertahankan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan perasaan resah ketika Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dengan menyatakan beliau telah disalahlapor oleh parti chauvinis DAP.

Najib diserang oleh pihak pembangkang apabila beliau berkata beliau mahu mempertahankan Putrajaya dengan apa cara jua sekali pun.

Zulkifli berkata kenyataan Najib itu hanya merupakan "bunga bahasa" dalam perumpamaan Melayu, di mana DAP gagal memahaminya.

Beliau memetik kata-kata Najib, "berkecai tulang dan badan, walau bercerai jasad dan nyawa. Walau apapun terjadi, Putrajaya mesti dipertahankan."

"Tapi ramai yang tidak faham, termasuk Lim Kit Siang (ahli parlimen Ipoh Timur) yang menyatakan kenyataan itu akan mencetuskan peperangan," ujar Zulkifli, menambah, ucapan itu tidak boleh diambil secara literal dari segi maknanya.

"Kenapa beliau harus menukarnya kepada kenyataan yang berbaur perkauman? Sekarang ini kita tahu beliau (Kit Siang) adalah seorang yang tidak memahami bahasa walaupun beliau telah menetap di negara ini sejak sekian lama," tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa perumpamaan Melayu itu bermaksud seseorang itu harus berjuang bersungguh-sungguh sehingga akhir hayat.

Zulkfili juga menuduh DAP melemparkan kata-kata bersifat perkauman ketika rusuhan 13 Mei, yang didakwanya "lebih merbahaya".

Tiada ulasan: