Sabtu, 30 Oktober 2010

Keluarga Sosilawati fail kes Selasa, tuntut peguam RM40 juta

THE MALAYSIAN INSIDER

Sosilawati
KUALA LUMPUR — Keluarga Datuk Sosilawati Lawiya akan memfailkan tuntutan ganti rugi RM40 juta terhadap peguam N Pathmanabhan dan lima individu lain yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik itu.

Tuntutan akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam Selasa ini.

Menurut peguam Kamarudin Ahmad, firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners telah dilantik anggota keluarga Sosilawati untuk memfailkan tuntutan ganti rugi.

Selain Kamarudin peguam bela yang mewakili firma guaman itu ialah Won Walter Pereira dan Annie Gomez.

Dipetik Harian Metro, Kamarudin berkata, tuntutan saman ganti rugi itu hasil daripada perbincangan dibuat bersama ahli keluarga mangsa, seminggu lalu.

Katanya, RM40 juta jumlah yang difikirkan sesuai berdasarkan kerugian terhadap keluarga mangsa berikutan operasi perniagaan syarikat kosmetik itu mengalami kerugian kerana pembunuhan kejam Sosilawati.

“Bagaimanapun kami lebih memfokuskan kepada Pathmanabhan. Mungkin ahli keluarga Sosilawati juga hadir ketika kami memfailkan tuntutan ini di Mahkamah Tinggi minggu depan,” kata beliau lagi.

Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47 dan tiga individu lain.

Individu lain, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, pada 15 Oktober lalu, dua lelaki K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam itu.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, 9 September lalu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menangguhkan sehingga 15 November ini semakan terhadap hukuman penjara tujuh tahun ke atas

dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki berkata beliau terpanggil untuk menyemak semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Telok Datok berikutan aduan daripada orang awam yang mendakwa Majistret Hurman Hussain memutuskan hukuman itu tidak mengikut undang-undang.

“Saya lakukan ini atas kuasa review saya,” katanya.

Di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah seseorang hakim boleh membuat semakan terhadap keputusan mahkamah rendah untuk membetulkan keputusan, rumusan, hukuman dan perintah.

Beliau menetapkan tarikh itu sementara menunggu alasan penghakiman daripada majistret berkenaan.

Mohtarudin juga berkata selain daripada itu terdapat permohonan rayuan Sarawanan, dan jika perlu semakan boleh dibuat semasa mendengar rayuan itu.

Pada 27 Oktober lepas, peguam bela Sarawanan, A. S. Dhaliwal memfailkan semakan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam.

Tiada ulasan: