Jumaat, 29 Oktober 2010

Jawapan kepada Zahid: Umno punca Melayu dihina

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa Melayu dihina dan merempat di bumi sendiri adalah kerana sikap kronisme Umno dan pemimpin mereka sendiri.

Menjawab dakwaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata bukan Melayu yang sering bertolak ansur, tetapi pemimpin Umno yang memegang kuasa yang berbuat demikian sehingga menggadai nasib Melayu.

"Hakikatnya Umno lah yang menyebabkan Melayu hilang jati diri dan lemah kuasa politik. Akibat politik dendam dan hasad yang berlubuk di dalam hati pemimpin Umno, yang mengutamakan Umno Putera, menyebabkan Melayu merempat di bumi sendiri.

"Hakikat yang berlaku, orang Melayu tidak bertolak ansur, sebaliknya pemimpin Umno yang terlalu bertolak ansur, menyebabkan Melayu terpinggir di negeri sendiri," katanya.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata, sedang mencari sebab kenapa hak orang Melayu yang sering dipertikaikan di bumi sendiri.

Zahid juga seperti menyalahkan Melayu yang didakwa sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur.

Biarpun tidak menuding jari secara khusus kepada mana-mana pihak, kenyataan Zahid itu dilihat cuba membentuk pemikiran orang Melayu khususnya untuk menyalahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini adalah teknik lama umno untuk memulihkan tenaga umno yang semakin lemah. Strategi ini adalah seperti pepatah Arab “Dia pukul orang dia mengadu bahawa orang lain pukul dia, dia memaki orang, dia mengadu orang lain memaki dia," katanya lagi.

Untuk mencapai maksud itu juga, Umno katanya menggunakan modal lapok dengan memainkan isu Melayu Pulau Pinang terkorban kerana Pakatan rakyat memerintah.

"Mereka cuba menjadi orang yang buta sejarah dan memutar belikkan fakta sejarah. Pada hal Umno dengan Gerakan yang memerintah Pulau Pinang hampir 51 tahun. Umnolah yang bertanggungjawab menyebabkan Melayu merempat di Pulau Pinang," jelasnya.

Menurutnya lagi, selama 53 tahun Umno memerintah, mereka gagal untuk mengangkat martabat orang Melayu di negara ini.

Ianya boleh dibuktikan apabila banyak dasar-dasar yang dibuat cantik, tetapi oleh kerana pelaksanaannya yang diberikan kepada pemimpin ynag mengkhianat amanah ini maka akhirnya semuanya gagal.

"Manakah pergi nilai saham khas bumiputera RM54 bilion? RM52 bilion sudah lesap, hanya tinggal RM2 billion.

"Kemanakah pergi tanah rizab Melayu 3 juta hektar yang ditinggal oleh penjajah pada tahun 1957. Pada tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya 1.7 juta hektar?", soalnya.

Sehubungan itu, Umno katanya tidak layak untuk menjaga hak orang Melayu, ibarat seperti "menyuruh serigala menjaga kambing".

Sudah sampailah masanya Umno berundur dan orang Melayu pula diseru menyertai PAS sebagai ganti kepada Umno.

Tiada ulasan: