Selasa, 28 September 2010

Umno mahu pantau ceramah pembangkang kesan isu rasis


KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti dominan Barisan Nasional (BN) itu akan memantau ceramah-ceramah Pakatan Rakyat khususnya yang dikendalikan dalam bahasa selain Bahasa Malaysia.

Kata beliau, langkah itu akan diambil untuk mengetahui sama ada himpunan anjuran mereka menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif.

“Kami akan memantau ceramah pembangkang dalam bahasa-bahasa bukan Bahasa Malaysia.

“Saya tidak pasti sama ada ceramah-ceramah dalam Mandarin atau Tamil ada mencetuskan isu-isu perkauman,” kata beliau kepada pemberita selepas bercakap pada majlis dialog anjuran Puteri Umno.

“Jangan hanya berkata bahawa ceramah-ceramah (kami) dalam Bahasa Malaysia menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif, hanya kerana ia boleh difahami oleh setiap orang,” kata beliau.

Beliau ditanya mengenai respons Umno ke atas tindakan penulis lagu bebas Wee Meng Chee, yang menghasilkan video muzik yang didakwa mempunyai kandungan yang berbaur hasutan.

“Kadangkala pembangkang menganjurkan majlis makan malam dengan ceramah dalam bahasa Mandarin atau Tamil, kami mahu tahu sama ada isu perkauman ditimbulkan atau tidak,” kata beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad membandingkan tindakan Wee dengan kenyataan pengetua dari Kulaijaya Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kata beliau, pembangkang menggesa dikenakan tindakan tegas ke atas pengetua berkenaan tetapi membisu dalam isu Wee.

Tiada ulasan: