Selasa, 28 September 2010

Pemilihan PKR: Beberapa pemimpin utama tumbang

Hazlan Zakaria

Pemilihan pemimpin peringkat cabang PKR pada mesyuarat agung tahunannya hujung minggu lalu menyaksikan beberapa pemimpin peringkat kebangsaan tumbang.

Ada yang mendakwa sesetegah calon muka baru ditaja oleh pemimpin tertentu di PKR yang mula menyusun strategi bagi merebut jawatan tertinggi parti.

Antara yang tumbang itu termasuk exco kanan kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong, ketua PKR Negri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dan naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Kamarul tumbang di cabang Teluk Kemang manakala Wong gagal merebut Petaling Jaya Utara dan Mustaffa kecundang di Pasir Salak.

Wong, yang merupakan ADUN Bukit Lanjan meraih 161 undi berbanding 222 undi yang dipungut oleh Leee Chin Cheh dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau bagaiamapun mendakwa Lee tidak layak bertanding kerana baru dipindahkan dari cabang Petaling Jaya Selatan pada Ogos tahun ini dan percaya tindakan itu ada kaitan dengan dalang dalaman parti.

Katanya, aduan rasmi akan dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Mustaffa, yang tewas kepas bekas ketua cabang Pasir Salak, Osman Abdul Rahman dengan hanya 17 undi juga jelas tidak berpuas hati.

Beliau mendakwa pencalonan Osman dicadangkan oleh seorang anggota parti yang tidak membayar yuran keahliannya.

Menurut peraturan PKR, mereka yang ingin bertanding dan mencadangkan sebarang pencalonan mesti terdiri daripada ahli yang sah termasuk membayar yuran keahlian mereka.

Mustaffa mendakwa tiada pegawai yang dihantar untuk memeriksa dan memantau perjalanan mesyuarat cabang berkenaan.

Bagi Datuk Kamarul yang hilang jawatannya kepada ADUN Port Dickson M Ravi, beliau menerima keputusan berkenaan dan menganggapnya sebagai kehendak ahli.

Beliau juga memberi bayangan melalui laman sesawang sosialnya Facebook malam semalam yang dia mungkin meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana menganggap keputusan itu sebagai undi tidak percaya ke atas dirinya.

"Saya terima keputusan dengan hati terbukadan akan memikirkan apa yang harus dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: