Rabu, 29 September 2010

Empat cabang PKR Terengganu tunggu kelulusan ROS

BERNAMA

KUALA TERENGGANU – Empat daripada lapan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Terengganu yang tidak dapat bermesyuarat 25 September lalu kini menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan mesyuarat.

Pengerusi PKR negeri Terengganu Abdul Rahman Yusof berkata keempat-empat cabang berkenaan tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana telah dibatalkan pendaftaran berikutan tidak menyerah laporan penyata mesyuarat dan penyata kewangan kepada ROS sejak dua tahun lepas.

“Kita akan tunggu kelulusan dari pendaftar pertubuhan untuk membolehkan mesyuarat diadakan tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, empat cabang yang telah mengadakan mesyuarat serentak pada Sabtu lepas ialah Cabang Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus.

Bagaimanapun, katanya cabang Kuala Nerus terpaksa menangguhkan mesyuarat ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak kerana ada usul mempertikaikan keputusan jawatankuasa pemilihan pusat mengenai pembatalan salah seorang calon ketua cabang.

Katanya semua cabang telah mencalonkan Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, Timbalan Presiden pula Azmin Ali, empat calon Naib Presiden iaitu Dr Mansor Othman, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Baru Bian (Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak).

Bagaimanapun katanya, cabang Setiu mencalonkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk Naib Presiden.

Beliau berkata Rafizi Ramli dipilih Ketua cabang Kemaman, Narawi Hashim sebagai Ketua cabang Hulu Terengganu dan Wan Daud wan Abdul Rahman sebagai Ketua cabang Setiu

Tiada ulasan: