Isnin, 30 Ogos 2010

Umno dan BN guna helah politik keagamaan serang PR


azan mp Oleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Umno dan Barisan Nasional (BN) terus menggunakan helah politik keagamaan melalui media arus perdana untuk menyerang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail menganggap tindakan media arus perdana sekarang ini jelas ketandusan idea untuk mencari sumber maklumat terkini sehinggakan sanggup menggunakan isu keagamaan untuk memberi faedah keuntungan kepada Umno dan BN.

"Politik murahan Umno dan BN menggunakan isu keagamaan menyerang PR adalah kerana untuk menutup segala penyelewengan dan kelemahan pentadbiran BN yang telah banyak didedahkan oleh PR sebelum ini.

"Media arus perdana sengaja mewujudkan provokasi terhadap tindakan baik pemimpin PR dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat kerana pemimpin bukan islam dari BN sendiri tidak mampu untuk melakukan tanggungjawab sedemikian,"kata Azan ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Beliau berkata, taktik kotor Umno dan BN untuk mencetuskan kebencian kaum kepada PR tidak akan terjadi kerana rakyat mampu membezakan kebaikan PR dari keburukan BN yang sentiasa mengabaikan rakyat.

"BN dan Umno bersama konco-konconya bercanang menghasut rakyat untuk memecah belahkan kaum dinegara ini tetapi PR sentiasa berjaya menyatukan semua kaum hingga wujudnya ikatan pertalian yang kukuh contohnya kejayaan penyatuan DAP, PAS dan PKR.

"BN bersama Umno berhasrat dengki untuk menjatuhkan PR kerana PR dilihat mampu bersama semua kaum membangunkan masyarakat tanpa mengira agama dalam membantu golongan yang memerlukan,"jelasnya.

Azan berkata, rakyat sepatutnya tidak memikirkan sentimen keagamaan yang digunakan oleh media arus perdana sekarang tetapi perlu memikirkan kelemahan kerajaan sekarang ini yang hanya memberi pulangan tertinggi kepada pemimpin BN bersama kroni masing-masing tanpa memikirkan keluhan rakyat.

Yusmadi Yusoff Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff pula berkata, permainan politik kotor BN dalam isu keagamaan menunjukkan BN sedang mengalami masa kesukaran untuk memenangi hati rakyat yang lebih menyokong PR untuk kehadapan dalam PRU ke 13 nanti.

"BN ketandusan sokongan dan terpaksa bermain isu keagamaan pula untuk meraih sokongan rakyat bagi berubah menyokong mereka.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana rakyat tidak akan berubah pandangan kepada pihak yang hanya bersandiwara sementara dan telah gagal membantu rakyat sejak berpuluh tahun yang lalu,"katanya.

Yusmadi berkata, tindakan Umno dan BN sekarang ini akan memakan diri sendiri kerana rakyat terus membenci BN akibat mengunakan sentimen perkauman dan keagamaan yang keterlaluan.

Minggu lalu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng(DAP) di serang oleh Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang DatukSeri Ahmad Zahid Hamidi dengan namanya dikatakan digunakan di dalam khutbah Jumaat.

Manakala pada sabtu lalu Ahli Parlimen Serdang Toeh Nie Chin(DAP) diserang media arus perdana berikutan tidak mengikut tatatertib ketika mengunjung surau di Kajang.

Seterusnya, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen juga dikatakan diberi layanan istimewa berada disaf hadapan ketika mengunjungi Masjid Selayang Baru.

Tiada ulasan: