Ahad, 29 Ogos 2010

Tiga mohon sekolah hamil


SINAR HARIAN ONLINE


MELAKA - Sekolah Pelajar Hamil atau Sekolah Harapan yang bakal dibuka di negeri ini 1 September ini mendapat respons positif apabila setakat ini mendapat tiga permohonan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka di situ.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, perkembangan itu adalah sangat baik kerana ada golongan ibu bapa sedar betapa sekolah itu amat diperlukan, terutama untuk membantu perkembangan pendidikan anak-anak mereka walaupun sudah terlanjur atau berkahwin dalam usia muda.

“Memang sejak dari awal lagi tujuan penubuhan sekolah ini untuk mengurangkan gejala pembuangan bayi yang berleluasa dan maksiat di kalangan golongan muda sehingga terjadinya perbuatan zina.

“Kita pun tidak akan mendedahkan identiti mereka yang terlibat melainkan mengumumkan perkembangan umum sekolah ini dan jika ada yang kahwin secara sah dan mahu kita uar-uarkan, maka kita akan umumkan juga berita baik ini,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Majlis Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), di Ayer Keroh semalam.

Mohd Ali berkata, bangunan untuk dijadikan asrama sekolah khas itu sudah siap diubahsuai dan ianya akan menyediakan suasana kondusif kepada pelajarnya, termasuk mengupah khas tenaga kesihatan untuk memeriksa tahap kesihatan setiap pelajar dari masa ke semasa.

Ketua Menteri itu berkata, guru yang akan mengajar di sana pula akan diambil daripada kalangan guru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Guru tuisyen serta guru wanita yang sudah bersara turut dialu-alukan untuk menyumbang tenaga.

“Pengetuanya juga kita akan lantik di kalangan wanita, kalau boleh mereka yang sedang mengandung,” katanya sambil berseloroh.

Sekolah Khas Pelajar Hamil atau dikenali sebagai Sekolah Harapan dicetuskan Ketua Menteri sebulan lalu sebagai salah satu cara mengatasi masalah remaja hamil di luar nikah dan membendung kes pembuangan bayi.

Menurut Mohd Ali, kertas cadangannya sudah dihantar ke kabinet, Rabu lalu dan menurutnya, kabinet menerima kertas cadangan tersebut tanpa sebarang masalah.

Sekolah berkenaan akan menggunakan bangunan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jasin sebagai kelas pembelaja:ran.

Tiada ulasan: