Selasa, 31 Ogos 2010

Sambutan Hari Kemerdekaan tetap meriah tanpa perarakan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional meriah dan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup di Stadium Putra di Bukit Jalil, bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

Stadium yang sering kali menjadi tumpuan acara sukan, pelbagai konsert hiburan dan acara pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, hari ini bertukar wajah apabila dilimpahi dengan warna-warni semangat 1Malaysia.

Bertemakan “1Malaysia Menjana Transformasi”, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun-tahun lepas.

Tampil segak, berwajah segar serta bersemangat waja, lebih 10,000 orang hadir bersama keluarga masing-masing dengan menggenggam erat Jalur Gemilang untuk dikibarkan pada acara kemuncak sambutan.

Acara sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi diikuti dengan tiupan nafiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta menteri-menteri Kabinet tiba lengkap berbusana batik 1 Malaysia selain duta-duta asing dan pemimpin parti-parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 940 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan yang terdiri daripada 500 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 440 pelajar Unit Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Sebaik tiba, Seri Paduka mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam sebanyak 14 das, dan kemudian diikuti dengan bacaan ikrar oleh 53 orang terdiri daripada wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya dari pelbagai kaum, diketuai oleh Pegawai Ko-Kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Gombak Mohd Faizullah Buyong.

Semangat patriotik mula menyelubungi seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali diikuti dengan laungan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang turut dilaungkan dengan penuh semangat oleh orang ramai yang memenuhi stadium.

Suasana kemudiannya bertukar lebih meriah apabila Persembahan Khas 1Malaysia yang mengandungi lapan segmen ditampilkan dalam bentuk penceritaan menerusi elemen penataan cahaya, kumpulan koir, kumpulan bicara berirama, penggunaan laser di lantai serta pergerakan formasi unik dan kreatif oleh kumpulan persembahan arena yang membentuk mesej 1 Malaysia.

Bermatlamatkan mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu, segmen pertama iaitu Gagasan 1 Malaysia membawa tetamu kehormat dan orang ramai menonton antaranya potret bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra, Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke-13 serta Perdana Menteri pertama hingga kini menerusi paparan visual yang disediakan.

Arena (ruang tengah) stadium kemudian mula dibanjiri seramai 1,640 peserta terdiri daripada kumpulan persembahan yang membentuk pergerakan formasi penceritaan, juga dibantu kumpulan bicara berirama serta kumpulan koir menerusi segmen kedua iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Segmen itu mengisahkan mengenai RMK-10 yang antara lain menekankan bidang pendidikan sebagai satu daripada agenda utama ke arah membangunkan insane bertaraf dunia.

Keasyikan penonton semakin terasa menerusi segmen seterusnya seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kreatif dan Inovatif, Model Baru Ekonomi, Kejayaan Negara, dan Kepantasan Bertindak di mana pengisiannya bukan saja bermesejkan 1 Malaysia malah menjelaskan rancangan dan transformasi kerajaan berdasarkan pada pergerakan formasi manusia, visual, kumpulan koir dan kumpulan bicara berirama yang dipersembahkan.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Dalam segmen tersebut turut dipersembahkan Tempur Tanpa Senjata, Gerak Para, Kawad Senyap dan Aksi Komando dari pasukan anggota keselamatan negara.

Konsep penceritaan persembahan kali ini bukan sahaja berpandukan pada pergerakan formasi manusia, penggunaan audio visual, penataan cahaya malah ketekunan dan ketangkasan kumpulan bicara berirama dan kumpulan koir dalam meningkatkan semangat patriotik di kalangan penonton yang hadir, jelas dapat dirasai.

Sebagai persembahan penutup, nyanyian lagu 1 Malaysia, Joget Malaysia dan Jalur Gemilang oleh kumpulan koir dari penuntut Universiti Lim Kok Wing, Institut Pendidikan Guru (IPG), artis kebudayaan dan peserta persembahan menyemarakkan lagi suasana apabila kemerduan lagu patrotik itu disemarakkan lagi dengan laungan nyanyian oleh semua peserta persembahan yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan kemerdekaan kali ini.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu, dijayakan 8,727 peserta kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan institut dari Kementerian Pelajaran seperti Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutan.

Ia turut disertai oleh Pasukan Anggota Keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kumpulan Sokka Gakkai Malaysia, pasukan PDRM tanpa uniform, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dari setiap negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Universiti Lim Kok Wing dan Intan.

Tiada ulasan: