Sabtu, 28 Ogos 2010

Pemuda PAS: Fokus masalah sosial, usah besarkan isu MP Serdang


Nasruddin tindakan media tertentu mempolemikkan isu Ahli Parlimen Serdang dari DAP Teo Nie Ching berucap di Surau Al-Huda. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata tidak salah bagi bukan Islam berucap di surau atau masjid dengan syarat berpakaian sopan dan mendapat kebenaran pengurusan premis ibadat itu.

Justeru, beliau juga mempersoalkan tindakan media tertentu mempolemikkan isu Ahli Parlimen Serdang dari DAP Teo Nie Ching berucap di Surau Al-Huda, Kajang Ahad lalu.

Katanya, negara khususnya umat Islam berhadapan dengan isu-isu sosial yang lebih berat untuk ditangani oleh media dan ahli-ahli politik, dan tidak perlu membesar-besarkan tindakan wakil rakyat berkenaan.

Menurut Nasrudin, masih terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama negara ini mengenai kebenaran bagi bukan Islam berada di kawasan masjid dan ia sesuatu yang “asing” di kalangan umat Islam negara ini.

Jelas beliau, tidak salah bagi orang bukan Islam masuk ke masjid dengan syarat berpakaian sopan dan menutup aurat serta mendapat keizinan daripada jawatankuasa masjid atau surau terbabit.

Bagaimanapun, Nasrudin mengaku bahawa pegawai masjid boleh mengelakkan isu ini menjadi kontroversi dengan hanya mengadakan masjid di koridor atau tempat lain selain ruang masjid.

“Dalam negara kita, rakyat anggap ini perkara ganjil, bukan macam di negara Arab yang memang dah biasa. Ia boleh timbulkan salah faham umat Islam,” katanya.

Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga menegaskan tindakan Teo itu bukan satu kesalahan, malah bukan Islam juga boleh memasuki kawasan masjid ataupun surau.

Tambah Nasrudin, pengurusan masjid boleh mengaturkan majlis ucapan di koridor, dewan atau di luar kawasan solat untuk mengelakkan keresahan kalangan umat Islam.

Sehubungan itu Nasrudin turut menyeru supaya media mengutarakan isu yang sememangnya disepakati ulama sebagai haram, seperti kunjungan orang Islam ke pusat-pusat hiburan untuk minum arak dan sebagainya.

“Media sepatutnya mengutarakan perkara yang terang-terangan salah seperti kelab malam dan pusat hiburan yang dibuka di Bukit Bintang.

“Banyak pengunjung yang beragama Islam mengunjungi walaupun dalam bulan Ramadan.

“Kalau nak kata kes YB Serdang itu hujahnya masih ada khilaf di kalangan ulama, mengapa tidak sentuh perkara yang memang merosakkan masyarakat?” kata beliau kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Nasrudin dan beberapa ahli jawatankuasa sayap Pemuda PAS itu semalam meninjau kawasan hiburan di Bukit Bintang yang disifatkan beliau sebagai pusat maksiat.

Teo dilaporkan memasuki ruang solat Surau Al-Huda untuk memberi ucapan pada Ahad lalu.

Bagaimanapun wakil rakyat itu memberitahu beliau berada di kawasan dalam surau atas permintaan dan kebenaran pihak pengurusan walaupun ketika tidak memakai tudung.

Katanya, beliau tidak menyampaikan ucapan politik sebaliknya menjelaskan program pendidikan anjuran kerajaan negeri Selangor.

Beliau dikecam hebat oleh media arus perdana sejak beberapa hari lalu atas alasan menghina orang Islam.

Malah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa menyatakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan perkembangan tersebut.

Mais juga mengambil alih serta-merta pentadbiran surau itu.

Tiada ulasan: