Isnin, 30 Ogos 2010

Kerajaan Selangor tidak pinggirkan DPMMS

FREE MALAYSIA TODAY


teresa_kok_wince PETALING JAYA: Tuduhan yang dibuat oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) Tan Sri Rozali ke atas kerajaan negeri Selangor bahawa dewan perniagaan itu dipinggirkan disifatkan palsu dan tidak berasas.

Demikian dinyatakan Exco Selangor Teresa Kok, bahawa tindakan itu nyata tiada asas malah kerajaan negeri sentiasa berhubung dan berbincang dengan pihak perniagaan tersebut.

"Kerajaan Negeri Selangor sememangnya berhasrat membangunkan ekonomi negeri melalui pengembangan perniagaan, termasuklah agenda kami untuk mempromosi industri halal dan pembangunan ekonomi kaum Bumiputera.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri sentiasa berhubung dan berbincang dengan semua pihak perniagaan yang berkait melalui dialog terbuka supaya ia dapat dilakukan secara bersih dan telus," katanya melalui satu kenyataan media.

Menurut Teresa, kerajaan Selangor tidak mungkin meminggirkan mahupun mengecualikan mana-mana dewan perniagaan dalam proses tersebut.

Jelas beliau, semua dewan-dewan perniagaan dijemput hadir termasuklah DPMMS dalam penganjuran sesi dialog bajet tahunan pada Julai lalu.

Namun, DPMMS tidak hadir bagi mengutarakan pendapat sepanjang forum itu berlangsung.

"Semua dewan-dewan perniagaan telah dijemput hadir, termasuk DPMMS. Pertubuhan-pertubuhan seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Real Estate and Housing Developers’ Association Malaysia (REHDA) telah menghantar wakil-wakil mereka untuk mengutarakan pendapat-pendapat mereka dan mewakili kepentingan mereka di dalam forum tersebut.

"Sebaliknya, DPMMS tidak hadir walaupun mereka telah dijemput. Ketidakhadiran mereka amat mengejutkan dan mengecewakan," katanya yang juga Ahli Parlimenb Seputeh.

Melalui forum itu juga, Selangor telah menubuhkan majlis penasihat yang dipanggil Selangor Business Council.

"Kami telah melantik para perniagaan, penganalisa dan ahli ekonomi dari pelbagai latar belakang untuk menjadi ahli majlis inil, termasuklah ahli-ahli perniagaan Melayu dan pakar ekonomi Melayu dan juga ahli-ahli DPMMS.

"Ini bukti bahawa tuduhan terhadap Kerajaan Negeri Selangor meminggirkan para peniaga Melayu adalah suatu pembohongan dan penyebaran maklumat palsu.

Teresa turut mendakwa kenyataan Rozali itu sebagai memegang dendam terhadap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Saya percaya bahawa Rozali telah membuat kenyataan tidak berasas ini kerana beliau memegang dendam terhadap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan Pakatan Rakyat kerana Selangor sedang berusaha membeli dan mengambil alih syarikat “cash cow”nya iaitu Syabas.

"Beliau diketahui umum sebagai penyumbang dana yang besar kepada Umno oleh itu, beliau sedang menyokong UMNO dengan menyerang Kerajaan Negeri Selangor dengan tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan," katanya.

Tiada ulasan: