Isnin, 30 Ogos 2010

Asri: Larang bukan Muslim tidak logik, usah ‘mangsakan’ Islam

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan agar fakta Islam tidak “dimangsakan” dalam keghairahan ahli-ahli politik hendak menghentam musuh masing-masing khususnya berhubung isu mengunjungi masjid atau surau.

Justeru kata Bekas mufti Perlis itu, dalam negara yang penduduknya majmuk, orang bukan Islam tidak harus dihalang daripada memasuki masjid atau surau kerana ia penting bagi mereka memahami Islam.

Soal beliau, jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan Muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, “bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka.”

Asri (gambar) memberikan pandangan ini ketika Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu pimpinan Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali menggesa agar undang-undang digubal melarang bukan Islam memasuki masjid dan surau.

Ibrahim turut menuduh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menjalankan tanggungjawabnya sepenuhnya dengan mempertahankan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang mengunjungi Surau Al-Huda di Kajang, Ahad lalu.

Bagi Nik Aziz, tindakan Teo tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz.

“Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan.

“Jika kita enggan menerima mereka (bukan Islam) masuk, itu persoalan lain,” kata Asri dalam tulisan terbaru blognya di bawah tajuk “Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik”.

Bagaimanapun kata beliau, tindakan menggambarkan kepada bukan Islam bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham.

“Islam ala Melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?” kata beliau.

Jelas beliau, para ahli fekah berbeza pendapat tentang hukum bukan Muslim masuk ke dalam masjid.

“Namun, majoriti ahli fekah termasuk dalam Mazhab al-Syafii berpendapat bahawa bukan Muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu.

“Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam.

“Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri,” katanya.

Dengan merujuk kepada hadis al-Bukhari dan Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi, Asri berkata, “kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan.”

“Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim,” kata beliau.

Asri menambah, di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

“Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-Taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara Muslim dan bulam Muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.

“Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan.

“Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?” katanya lagi.

Asri juga berkata, beliau amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan manakala Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing.

“Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya.

“Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam,” kata beliau.

Tegas beliau, politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan, persepsi dan prejudis.

“Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak,” katanya lagi.

Tambah beliau, orang politik datang dan pergi dan begitu juga parti politik.

“Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia.

“Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar,” katanya.

Justeru kata Asri, Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka.

Katanya, bukan Islam bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini.

“Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu.

“Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan Muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan.

“Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas,” katanya.

Tiada ulasan: