Isnin, 30 Ogos 2010

AGM Karyawan Dibatal Selepas Berlaku Kekecohan



Freddie (kanan) bersama peguam yang mewakilinya memberi kenyataan kepada media di Finas, Ahad.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Karyawan (Karyawan) yang berlangsung di Perbadanan Filem nasional (Finas), Ahad, terpaksa ditangguhkan kerana berlaku kekecohan.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, AGM itu terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain kerana kehadiran kira-kira 50 individu bukan ahli telah yang telah mengganggu proses mesyuarat diadakan.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke perkarangan Finas dan terpaksa menunggu di luar perkarangan agensi itu.

Hadir bersama Freddie ialah dua ahli jawatankuasa bebas yang dilantik oleh mahkamah untuk menjalankan serta menguruskan AGM tersebut iaitu peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Karthigesan Shanmugam.



Zaienal Abidin Omar

Menurut Jahaberdeen, pihaknya meminta individu yang bukan ahli beredar dari mesyuarat itu tetapi mereka enggan sehingga berlakunya kekecohan.

“Oleh itu, AGM tidak dapat dilaksanakan. Ini amat malang sekali kerana mahkamah memerintahkan AGM diadakan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam Karyawan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah berkata, pihaknya yang menyedari akan ada individu tertentu yang datang untuk membuat kecoh dalam AGM menyebabkan pihaknya membuat laporan polis sehari sebelum mesyuarat itu berlangsung di Balai Polis Taman Melawati, di sini.

Bagaimanapun selepas berlakunya kekecohan itu, beliau berkata, Karyawan akan membuat laporan susulan.

Sementara itu, Pengasas Karyawan, Zaienal Abidin Omar yang menemui pemberita selepas sidang akhbar itu mendakwa, Freddie telah bertindak kurang ajar terhadap seniman negara Datuk Aziz Sattar dengan memberi komen di dalam media sebelum ini,

Antara tindakan yang disifatkan sebagai kurang ajar adalah komen “you shut-up” (awak diam) dan “Datuk Aziz ini tidak mengenang budi.”

Sehubungan itu, katanya, seorang yang hadir telah menuntut Freddie meminta maaf kepada seniman negara itu.

“Bukan sahaja tidak meminta maaf, beliau telah melakukan provokasi terhadap ahli-ahli yang lain. Selepas ditampar oleh dua anggota Karyawan, beliau melarikan diri. Saya tak boleh menahan sebab saya tahu beliau bersalah,” katanya.

Dia turut mendakwa, Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah telah disepak terajang kerana berlagak seperti “samseng” kepada Freddie.

Bagaimanapun, Freddie ketika dihubungi menafikan insiden tersebut malah menegaskan dia tidak terlibat dalam kekecohan semasa AGM itu.

Ahmad pula ketika menjawab persoalan diserang semasa AGM itu berkata: “Rileks-lah. Saya rasa terajang ini kelakar. Apa mereka ingat ini tak ada undang-undang? Kami cepat-cepat keluar supaya tidak kecoh,” katanya.

Tiada ulasan: