Rabu, 28 Julai 2010

Tunggu Keputusan Rayuan Permohonan Dapatkan Bahan Bukti Sebelum Sambung Perbicaraan

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Pihak pembelaan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang akan memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zabidin Mohd Diah supaya menangguhkan perbicaraan sehingga Mahkamah Rayuan Putrajaya memberikan keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan laporan perubatan dan bahan bukti.

Peguam Sankara Nair ketika dihubungi Suara Keadilan pagi tadi berkata pihak pembelaan akan memohon kepada Zabidin supaya kes yang sepatutnya diteruskan pada 2 Ogos ini ditangguh sehingga keputusan sama ada permohonan Anwar untuk mendapatkan laporan perubatan berjaya atau sebaliknya.

"Bagaimana kita mahu meneruskan prosiding sedangkan Mahkamah Rayuan belum membuat keputusan. Pada 2 Ogos ini, pihak pendakwa raya dijangka akan memanggil tiga doktor Hospital Kuala Lumpur untuk menyoalbalas mereka.

"Ini sudah tentu akan menyusahkan kerana tanpa laporan perubatan dan bahan bukti bagaimana mungkin pihak kami boleh meneruskan perbiacaraan.

"Pihak pembelaan akan meminta supaya kes ini ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya," ujar Sankara.

Sankara memberitahu, Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya pagi semalam telah menghantar surat memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 6 Ogos depan.

Menurutnya, tarikh tersebut itu menyukarkan pihak pembelaan kerana tidak boleh menyoalbalas saksi tanpa dibekalkan laporan perubatan dan bahan bukti.

Saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum ini memberikan keterangan menggemparkan apabila mendakwa doktor yang memeriksanya di sebuah hospital swasta telah berbohong dalam laporan perubatannya.

Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dr Mohamad Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi berbohong apabila menyatakan beliau mengaku mengalami kesakitan di duburnya kerana objek plastik telah dimasukkan ke dalamnya.

Saiful mendakwa beliau tidak memberikan pengakuan sebegitu kepada doktor berkenaan.

Bagaimanapun bekas pembantu Anwar tersebut gagal menjelaskan laporan hampir sama yang dikemukakan oleh tiga pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur yang turut memeriksanya.

Seperti Dr Mohamad Osman, tiga pakar itu juga mendapati tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Pada 4 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk mengenepikan kes tuduhan liwat yang di hadapinya.

Ketika membuat keputusan itu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria berkata laporan perubatan bagi menyokong permohonan Anwar untuk menolak kes ini hendaklah di baca secara keseluruhannya.

Dalam sesi penghujahan ketika itu, ketua peguam pasukan pembelaan, Karpal Singh berkata melalui laporan perubatan tiga doktor pakar HKL jelas menunjukkan tidak wujud sebarang penetrasi ke dalam dubur Saiful.

Karpal mendakwa sampel air mani yang diambil daripada badan Anwar telah dengan sengaja dipalitkan ke badan Saiful.

Anwar, 62, didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Tiada ulasan: