Rabu, 28 Julai 2010

Kerajaan Lembab Tangani Kebanjiran PATI

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara, Senator Zamri Yusof mendesak kerajaan khususnya kementerian berkaitan mengambil sikap proaktif dalam menangani masalah kebanjiran pekerja asing tanpa izin (Pati) yang dijangka akan menimbulkan masalah sosial, jenayah dan ekonomi kepada negara ini.

"Sejauh manakah usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini kerana nisbah pekerja sah dan tidak sah di negara ini tidak menunjukkan pengurangan. Dalam pada masa yang sama, mereka ini mengambil peluang pekerjaan yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat Malaysia," katanya.

Zamri menjelaskan demikian, dalam sidang media di lobi Parlimen semalam, selepas sesi soalan lisan bagi kelulusan Rang Undang-undang Anti-pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan apakah inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing yang kelihatan sangat kritikal, sehingga tiada pilihan lain untuk menjana sektor buruh.

Sedangkan, dalam pada masa yang sama, masih gagal untuk menyelesaikan masalah pengangguran.

"Jawapan dari kerajaan ialah, mereka sedang berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dengan usaha pengurangan kepada 400,000 orang setahun. Jawapan itu diberikan ketika jumlah Pati dan pekerja sah, masing-masing berjumlah 1.9 juta orang, dua tahun yang lalu. Dalam data Rancangan Malaysia Ke-10, kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.1 %, iaitu bersamaan 500,000 orang," tambah Zamri.

Beliau menyarankan tiga langkah yang perlu diambil oleh kerajaan. Pertamanya, penegasan terhadap penguatkuasaan undang-undang, menyemak dan mengenalpasti sebab-sebab kemasukan dan melatih segera tenaga kerja tempatan bagi menampung kekosongan dalam sektor buruh, sekiranya proses peralihan tersebut dikuatkuasakan.

"Tujuannya adalah supaya tenaga kerja berjumlah 500,000 yang masih menganggur, digunakan untuk mengisi kembali kekosongan itu. Kita perlu ada satu sistem. Jika tidak, kita akan mempunyai masalah yang baru, terutamanya dalam sektor pembangunan di negara ini," katanya.

Terdahulu sebelum itu, Senator Muhamad Yusof Husin mendedahkan bahawa peningkatan kadar jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing perlu ditangani dengan serius.

Beliau mendakwa kebarangkalian itu terjadi akibat dari kebanjiran Pati yang pada mulanya gagal untuk mendapat pekerjaan, yang kemudiannya menjurus kepada perlakuan jenayah.

"Sekarang ini jenayah yang melibatkan kelompok ini bukan hanya berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan ibu-ibu negeri sahaja, bahkan ianya berlaku dibandar-bandar kecil. Mereka sanggup untuk memecah masuk ke rumah dan merompak, bahkan ada yang sanggup membunuh mangsanya. Perkara ini akan menimbulkan rasa tidak stabil berkenaan keselamatan rakyat di dalam negara ini," katanya.

Beliau menjelaskankan sekiranya pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil serius tentang perkara tersebut, tidak mustahil dalam masa satu hingga dua tahun, negara ini akan dipenuhi dgn pendatang asing tanpa izin.

Ini kerana baginya, warga asing telah menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kerana mereka 'mudah' masuk, dengan pelbagai cara.

Tiada ulasan: