Rabu, 28 Julai 2010

'Berlaku adil dalam penempatan semula'

Humayun Kabir

DAP Perak menggesa kerajaan negeri itu mengeluarkan pelan induk berhubung pemindahan setinggan bagi memastikan golongan itu diberi layanan setimpal dan mendapatkan keadilan.

Timbalan pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran berkata rancangan setinggan sifar kerajaan BN tidak akan tercapai jika kemiskinan dan kekurangan pekerjaan terus berleluasa di kawasan luar bandar.

Katanya, jumlah setinggan di Perak meningkat berkali ganda daripada 7,950 pada 2004 kepada 14,203 pada 2008, yang sekaligus menyaksikan usaha mencapai setinggan sifar tidak tercapai.

Pada 2000, Menteri Besar , Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali berkata Perak akan bebas daripada setinggan menjelang 2005. Apabila ini tidak tercapai, menteri besar sekarang, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula berjanji ia akan dicapai menjelang 2015.

“Tidak ada gunanya mengisytiharkan Itarikh baru yang tidak boleh dicapai oleh kerajaan negeri. Mengalihkan tiang gol bukan jawapan bagi menangani masalah setinggan yang semakin meruncing,” kata Kulasegaran.Pelan induk

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu tampil dengan pelan induk bagi menyelesaikan masalah berkenaan serta menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menggubal dasar-dasar yang mampu menyelesaikan masalah setinggan.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri yang cekap untuk mencari jalan bagi memastikan pemindahan setinggan dijalankan dengan adil dan bertanggungjawab. Persoalannya, mampukah kerajaan negeri sekarang berbuat demikian?”

Kulasegaran bercakap kepada pemberita, semalam sebelum bermesyuarat dengan Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim berhubung nasib 50 keluarga yang telah menetap di Kampung Tai Lee di Buntong untuk hampir selama 100 tahun.

Penduduk berkenaan telah dijanjikan penempatan semula di Pusing melalui surat daripada Jabatan Tanah sebelum pilihan raya umum 2008, tetapi sehingga hari ini, perkara itu belum dilaksanakan.

Pada 3 januari tahun ini, ketika program gotong-royong anjuran kerajaan negeri, Zambry telah mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh untuk mencari penyelesaian kepada masalah penduduk berkenaan.

Namun, Kulasegaran mendakwa, ia juga gagal mengakhiri kemelut penduduk itu.

Tiada ulasan: