Rabu, 28 Julai 2010

AMK Puji Langkah Selangor Peruntuk RM15 Juta Untuk Sistem Penyampaian Maklumat

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM15 juta untuk mempertingkatkan sistem penyampaian maklumat dan menganggap langkah tersebut sebagai bukti komitmen untuk mewujudkan urus tadbir yang telus, bertanggungjawaban demi menjamin hak untuk mengetahui bagi semua rakyat Selangor.

Menurut Ketua Penerangan AMK Pusat, Lee Khai Loon hak untuk mengetahui merupakan prinsip asas dan perlu wujud dalam sistem demokrasi bagi memastikan warganegara dapat menerima maklumat yang mencukupi, tepat dan berupaya membuat keputusan yang bijaksana dalam pilihan raya.

"Sudah hampir 53 tahun Malaysia merdeka, namun sistem pilihan raya masih dalam keadaan hiasan sahaja (window dressing).

"Media arus perdana termasuk televisyen, radio dan akhbar masih dimonopoli oleh Umno-Barisan Nasional.

"Keadaan ini telah menyekat hak untuk mengetahui bagi orang awam. Kerajaan Umno-BN tidak usah terlalu sensitif dengan keputusan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, malah tidak perlu membantah semata-mata untuk membantah," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Khai Loon, jika kerajaan Umno-BN benar-benar menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, mengapa pula tarik balik Radio Selangor yang sebelumnya di bawah kerajaan negeri.

"Bagaimana pula dengan stesen radio dan televisyen yang di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, adakah hak tersebut akan dikembalikan kepada rakyat?

"Ini jelas menunjukkan kerajaan Umno-BN telah menafikan hak untuk mengetahui bagi rakyat," tegas beliau.

AMK juga mengalu-alukan rakyat Selangor untuk memantau serta melibatkan diri secara aktif dalam urus tadbir negeri Selangor.

Namun AMK mengingatkan supaya rakyat jangan terperangkap oleh kritikan pimpinan Umno-BN yang bersifat hipokrit dan talam dua muka dalam isu hak untuk mengetahui.

Sementara menguasai segala institusi penerangan, Umno-BN pula menekan dan menghalang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mempertahankan hak untuk mengetahui.

Oleh itu AMK menyeru rakyat Selangor agar sentiasa melayari portal TVSelangor, Selangor Kini serta akhbar Selangorkini dalam versi cetak untuk mengikuti perkembangan terkini di Selangor.

Selain itu, rakyat Selangor juga boleh membantu kerajaan negeri untuk menyebarkan maklumat yang tepat khasnya berkaitan dengan dasar-dasar kebajikan serta urus tadbir yang baik.

Tiada ulasan: