Sabtu, 31 Julai 2010

735 Pelajar Anak Asnaf Catat Keputusan Cemerlang


MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM – Seramai 735 pelajar terdiri daripada anak-anak asnaf fakir dan miskin berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan sepanjang tahun lepas. Mereka merupakan penerima bantuan zakat di bawah Program Pembangunan Pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Meraka adalah 151 pelajar menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); 241-Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA); 191-Penilaian Menengah Rendah (PMR); 141-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 6-Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 4-Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menurut Ketua Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata setiap tahun badan ini memperuntukkan RM27 juta untuk program pembangunan pendidikan ini bagi membiayai kos peralatan belajar anak-anak asnaf terbabit merangkumi peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Antara bantuan yang disalurkan LZS merangkumi pembiayaan yuran, peralatan belajar, pakaian sekolah, wang saku serta kursus-kursus kecemerlangan.

“Setiap tahun LZS sentiasa memantau perkembangan anak-anak asnaf. Alhamdulillah mereka semakin semerlang sama ada dalam akademik mahupun pembangunan sosial diri.

“Menjadi matlamat LZS untuk sentiasa berusaha mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan. Salah satunya menerusi pendidikan yang boleh menjamin masa depan mereka”, katanya pada Majlis Anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2009 LZS di Dewan Auditorium SIRIM, Shah Alam siang tadi.

Katanya menerusi motto ‘Meneraju Perubahan’ LZS beriltizam mahu menjadikan anak-anak asnaf terbabit sebagai ejen perubahan diri dan keluarga. Bagi tujuan itu LZS melaksanakan kursus motivati pelajar sepajang tahun, program bantuan pendidikan dan kelas tambahan.

Dalam majlis itu, Nur Amalina Zainal Afandi dari Gombak dianugerahkan sebagai pelajar bestari setelah berjaya memperoleh 12 A dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM740, komputer riba dan sijil penghargaan.

Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Asasi Sains.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pendididikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Timbalan Pengurus Besar LZS, Sahadan Ishak.

Tiada ulasan: