Rabu, 30 Jun 2010

Umno digesa ambil tindakan terhadap Mohd Zain

Oleh Muda Mohd Noor

Kemelut Umno Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mat Yassim mahu Majlis Tertinggi (MT) parti mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Bahagian Datuk Mohd Zain Ismail yang turut mengadakan mesyuarat walaupun keahliannya digantung sejak Ogos 2008.

MT menggantung Mohd Zain kerana melakukan sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2008.

"Mohd Zain berani buat (mengadakan mesyuarat) kerana MT tidak mengambil sebarang tindakan walaupun beliau turut mengadakan mesyuarat bahagian pada tahun lalu.

"Saya bimbang jika dibiarkan beliau akan mengadakan mesyuarat lagi pada masa depan dan bahagian lain akan ikut sama," katanya ketika diminta mengulas tindakan Mohd Zain yang turut mengadakan mesyuarat bahagian Rantau Panjang, Sabtu lalu.

Mesyuarat Umno bahagian kumpulan penyokong Abdullah yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di sini telah dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri oleh 325 perwakilan daripada 463 orang.

Sementara mesyuarat bahagian itu anjuran Mohd Zain dirasmikan oleh beliau sendiri di dewan Umno bahagian itu. Tindakan Mohd Zain dilapor ke Ibu Pejabat Umno (tajuk kecil)

Abdullah berkata, pihaknya telah menghantar laporan mengenai tindakan Mohd Zain itu kepada Ibu Pejabat Umno untuk diambil tindakan.

"Ahmad Zahid telah singgah sekejap di dewan Umno dan beliau memberitahu Mohd Zain bahawa mesyuarat ini tidak sah," kata Abdullah.

Ketika ditanya mengapa Mohd Zain mengadakan mesyuarat tersebut sedangkan keahliannya digantung, Abdullah berkata, ‘untuk menjaga penyokong-penyokongnya di Rantau Panjang.’

Abdullah juga mendakwa, Mohd Zain menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

"Saya telah menghubungi Muhyiddin dan timbalan presiden Umno itu menafikan kenyataan Mohd Zain itu.

"Muhyiddin juga memberitahu saya bahawa sesiapapun tidak boleh menggunakan namanya untuk kepentingan peribadi," kata Abdullah.

Usaha Free Malaysia Today menghubungi Mohd Zain untuk mendapatkan penjelasan beliau mengenai perkara tersebut tidak berhasil.


Tiada ulasan: