Selasa, 29 Jun 2010

Tian Chua fail kebenaran merayu esok


tianchua Oleh Jamilah Kamarudin


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan kesalahannya kerana mencederakan seorang anggota polis.

Peguamnya, Ranjit Singh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengemukakan fail permohonan itu ke pejabat pendaftar esok pagi.

Beliau berkata, permohonan untuk kebenaran merayu itu akan menjurus terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret, dan bukannya rayuan mengenai hukuman yang membabitkan denda sebanyak RM2,000.

"Memandangkan perkara ini pada awalnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Majistret, rayuan tidak boleh dikemukakan secara terus di Mahkamah Rayuan, dan ia berbeza dengan prosedur di Mahkamah Sesyen.

"Jadi selepas failkan permohonan itu, kita akan tunggu sama ada Mahkamah Rayuan akan membenarkan kes Tian Chua untuk didengar disitu atau tidak, terpulang kepada hakim yang menerima kes ini," katanya.

Sementara itu, Tian Chua ketika dihubungi berkata rayuan yang dikemukakan ini merupakan usahanya untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, bukannya untuk mempertikaian denda yang dikenakan ke atasnya sekaligus membuktikan kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

"Walaupun penetapan hukuman denda telah menjadi pertikaian umum, permohonan untuk menangguhkan hukuman bagi rayuan akan dikemukakan, sebahagian besarnya bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang mempertahankan sabitan tersebut," katanya.

Terdahulu, Tian Chua, 46, didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar pada kira-kira pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 terhadap Tian Chua.

Setelah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ghazali Cha pada 17 Jun lalu mengurangkan hukuman tersebut kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan, atas pertimbangan mahu mengelak satu lagi pilihan raya kecil di adakan.

Tiada ulasan: