Isnin, 28 Jun 2010

Pemuda PAS harap Australia bersikap toleransi

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengharapkan Australia bersikap lebih toleransi dan terbuka terhadap penduduk Australia yang beragama Islam serta amalan penganutnya.

Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar) berkata, dialog terbuka atas isu keamanan dan kesejahteraan perlu diadakan bagi memahami budaya dan amalan penganut agama khususnya umat Islam agar tidak timbul salah faham dan persepsi yang negatif.

Pemuda PAS, katanya amat mengagumi usaha Australia mengangkat isu hak asasi manusia, keadilan sosial dan pembanterasan rasuah di kalangan pemimpin dan rakyat.

Menurutnya, Australia terkenal antara negara di benua Asia yang bersih dari amalan rasuah dan berharap usaha yang telah didahulukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Kevin Ruud dapat diteruskan oleh Perdana Menteri yang baru.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Puan Julia Gillard kerana terpilih sebagai Perdana Menteri Australia yang baru menggantikan Kevin Rudd.

“Pelantikan ini adalah sebagai tanda pengiktirafan golongan wanita sebagai pemimpin negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap Perdana Menteri baru itu akan membuka satu lembaran politik serta hubungan dagang yang lebih erat antara negara-negara serantau.

“Adalah diharapkan, hubungan antara Australia dengan negara-negara umat Islam khususnya di Asia dapat diperbaiki.

“Selama ini persepsi yang buruk serta sikap prejudis dunia barat terhadap dunia Islam yang menyebabkan kesan buruk terhadap dunia Islam,” ujarnya.

Tiada ulasan: