Sabtu, 29 Mei 2010

Program Koko Rakyat diperkenal

UTUSAN OLINE

KUALA KANGSAR - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memperkenalkan 'Program Koko Rakyat' iaitu memberikan bantuan biji benih koko untuk ditanam bukan sahaja di ladang-ladang tetapi persekitaran rumah khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, para pekebun kecil yang tidak menyertai mana-mana agensi seperti RISDA, Felda dan Felcra juga boleh menulis surat kepada kementerian tersebut untuk menerima bantuan biji benih koko.

Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan penduduk negara ini menceburi penanaman koko memandangkan pengeluaran bahan komoditi tersebut semakin berkurangan berikutan kebanyakan pemilik ladang kini beralih ke tanaman lain seperti kelapa sawit dan getah.

"Negara memerlukan jumlah pengeluaran komoditi koko yang besar. Sebelum ini kita mempunyai keluasan 400,000 hektar ladang koko kini cuma tinggal 25,000 hektar.

"Keadaan ini memaksa kerajaan mengimport biji koko dari luar negara bagi keperluan makanan rakyat seperti dijadikan coklat atau minuman," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Juara Rakyat Parlimen Padang Rengas dekat sini hari ini.

Menurut Hamzah, kedudukan harga koko di pasaran yang lebih stabil berbanding komoditi lain perlu diambil kesempatan oleh rakyat negara ini untuk melibatkan diri dengan lebih serius dalam sektor penanaman koko.

"Matlamat kita adalah untuk menjadi negara pengeluar koko terbesar dunia. Program Koko Rakyat memberikan peluang kepada rakyat terutama yang mempunyai tanah yang luas untuk terlibat secara langsung.

"Walaupun hanya menanam tiga atau empat batang pokok koko dari klon yang terbaik, ia mampu menambah sumber ekonomi melalui jualan biji koko secara runcit," katanya.

Program Koko Rakyat katanya, telah dimulakan di Perlis dan akan dikembangkan ke seluruh negara khususnya di Bagan Datoh, Perak.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihak kementerian turut menggalakkan penduduk luar bandar yang mempunyai tanah-tanah terbiar yang boleh digabungkan mengambil bahagian mengusahakan tanaman kenaf yang berpotensi dalam bidang pembuatan.

Selain sebagai bahan pembinaan, kenaf tambahnya, boleh digunakan juga dalam industri automobil, elektronik, membuat fiber dan banyak lagi kegunaan yang merupakan satu produk komposit material baru.

"Kementerian melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara telah pun menandatangani satu perjanjian bersama dengan syarikat multinasional, Panasonic untuk membeli kenaf fiber yang boleh memberi peluang besar dalam pengeluaran tanaman ini pada masa depan," ujar beliau.

Tiada ulasan: