Sabtu, 29 Mei 2010

Pengangkutan awam belum penuhi NKRA

BERNAMA


Sistem pengangkutan awam di negara ini masih belum memenuhi matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan memerlukan peningkatan daripada segi kecekapan dan kualiti perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, perkara itu menjadi cabaran kepada kerajaan yang harus mencapai matlamat meningkatkan pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang menjelang 2012.

"Setakat ini saya cuma boleh simpulkan daripada segi NKRA berkaitan pengangkutan awam, kita perlu meningkatkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wesak anjuran Persatuan Buddha Miao You di Setapak, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkata, penambahbaikan sektor pengangkutan awam juga perlu dilakukan dengan mengambil kira kemungkinan kenaikan harga petrol sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan mengurangkan subsidi.

Mengulas mengenai kemungkinan harga petrol naik, Tee Keat berkata keadaan itu akan membuka peluang untuk penyelidik mencari bahan api gantian dan seterusnya membantu negara mengurangkan kepergantungan kepada petrol.

Mengulas mengenai cadangan makmal subsidi untuk memansuhkan beberapa subsidi itu, beliau berkata : “Memanglah kalau ditanya ia nampak beban sikit, tapi mereka mahu ke kita tolong orang kaya yang turut dapat subsidi?.

Bagi tujuan itu, Tee Keat berkata satu mekanisme perlu dibentuk bagi membolehkan golongan miskin terus menikmati subsidi tersebut.


Tiada ulasan: