Sabtu, 29 Mei 2010

BN Masih Ada Masa Tarik Sokongan Masyarakat Cina: Tun Mahathir

BERNAMA

JOHOR BAHARU: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Barisan Nasional (BN) masih mempunyai masa untuk menarik sokongan daripada masyarakat Cina sebelum pilihan raya umum akan datang.

Bekas Perdana Menteri berkata, masyarakat Cina akan menyokong BN jika parti pemerintah itu terus melayan masyarakat itu dengan adil serta menjaga kepentingan mereka seperti di dalam bidang perniagaan.

"Jikalau layanan (BN) kepada mereka (masyarakat Cina) adalah adil, saya fikir mereka akan sokong Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Wacana Kepimpinan dan pelancaran Kelab Veteran MAYC di sini hari ini.

Perdana Menteri Malaysia Keempat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap BN sebagaimana yang berlaku di dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Katanya kerajaan perlu adil dalam menjaga kepentingan semua kaum di negara ini dan menurutnya masyarakat Cina memerlukan peluang-peluang perniagaan dan jika kerajaan tidak mewujudkannya, maka adalah sukar bagi masyarakat itu untuk menyokong kerajaan.

Bekas Presiden Umno itu berkata, beliau memulakan karier politik sebagai seorang "Malay Ultra " dan ramai dikalangan masyarakat Cina menganggap sebagai malapetaka apabila beliau menang dalam pilihan raya.

"Bagaimanapun kita (BN) menang pada (pilihan raya umum) hasil sokongan mereka (masyarakat Cina)," katanya.

Mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi beberapa barang keperluan utama, beliau berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa harga akan meningkat.

"Saya fikir kita perlu menerima hakikat harga barangan akan naik dan kita tidak boleh sentiasa menjangkakan apabila kita membeli, harga akan kekal pada kadar sama," katanya sambil menambah ketika beliau menjadi Perdana Menteri harga satu tong minyak adalah kira-kira US$30, berbanding kini yang mencecah US$80 satu tong.

Malah katanya, harga minyak dunia pernah mencecah US$140 satu tong tidak lama dahulu.

Dr Mahathir bagaimanapun meminta sebarang langkah penarikan balik subsidi oleh kerajaan dilakukan secara berperingkat, supaya rakyat tidak terlalu menanggung beban akibatnya.

Terdahulu, presiden MAYC Tan Sri Sanusi Junid yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Menteri Pertanian menyerahkan kad keahlian pertama kelab Veteran MAYC kepada Dr Mahathir.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 anggota Umno pelbagai peringkat itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Tiada ulasan: