Khamis, 29 April 2010

Satu Lagi Kematian Akibat Denggi Dilaporkan Hari Ini

BERNAMA

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat denggi dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkumpul dalam tempoh empat bulan tahun ini sebanyak 55 kematian.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kematian itu membabitkan seorang suri rumah berusia 42 tahun di Sungai Siput, Perak.

"Jika dilihat dari tempoh itu jumlah kematian adalah tinggi, disebabkan itu usaha pencegahan perlu dipertingkatkan lagi," katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Karnival Sihat 1Malaysia di sini hari ini.

Rosnah berkata meskipun Kementerian Kesihatan telah mengadakan 661 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) pada tahun ini melibatkan 16,563 sukarelawan tetapi ia masih belum mencukupi.

"Program-program kesedaran masih perlu dipertingkatkan lagi untuk memastikan wabak denggi tidak menjadi pembunuh utama rakyat negara ini," katanya.

Mengenai Karnival Sihat 1Malaysia, beliau berkata ia akan diadakan pada 9 Mei depan di Setiawangsa, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang anjuran Kelab Graduan 1Malaysia.

Karnival itu bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan dan antara aktiviti dijalankan ialah pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, derma darah dan pendaftaran derma organ.

Tiada ulasan: