Jumaat, 30 April 2010

Kerajaan perlu halang doktor muda ‘hijrah’ ke luar negara

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu menghalang graduan perubatan baru, terutamanya penerima biasiswa, daripada bekerja di luar negara dan “melepaskan diri” daripada melaksanakan khidmat wajib doktor pelatih atau pegawai perubatan selama tiga tahun di Malaysia, kata pakar perubatan Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Dr Lokman, yang merupakan Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jumlah graduan perubatan berhasrat bekerja di Singapura tahun ini semakin ramai dan ia berlaku sejak lima tahun lepas apabila Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan UKM dan Universiti Malaya.

“Kerajaan patut hanya membenarkan doktor-doktor yang dilatih di fakulti perubatan kerajaan, bekerja di luar negara setelah berkhidmat tiga tahun yang diwajibkan di Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya seramai 20 daripada 209 graduan perubatan UKM yang lulus pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura dan ramai lagi graduan Fakulti Perubatan UM sedang mencari rezeki di republik itu.

Dijangkakan seramai 80 graduan akan meninggalkan negara ini untuk bekerja di hospital-hospital Singapura, kata Dr Lokman

Beliau berkata para doktor muda itu sepatutnya membalas jasa di atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk dilatih menjadi doktor berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya menjadikan “UKM dan UM seolah-olah tempat latihan untuk Kementerian Kesihatan Singapura”.

“Adalah perlu bagi kerajaan menyekat doktor-doktor baru dilatih daripada lari melaksanakan kewajiban terhadap negara,” kata Dr Lokman. Doktor pelatih di Singapura ditawarkan gaji bulanan S$2,690 (RM6,187) manakala di Malaysia, mereka menerima RM3,665 dengan purata elaun “on-call” antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Nampaknya mereka walaupun dilatih untuk menjadi seorang doktor yang berhati mulia dengan berkhidmat kepada pesakit dan masyarakat seperti yang diajar di dalam kurikulum perubatan kita, perbezaan RM1,000 hingga RM2,000 boleh menyebabkan profesional muda meninggalkan tanggungjawab mereka kepada negara untuk berkhidmat di negara jiran,” kata Dr Lokman. — Bernama

Tiada ulasan: