Rabu, 28 April 2010

Kecuaian Anggota Bawa Musibah, Pimpinan PDRM Kena Bertanggungjawab

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar perlu mengambil tanggungjawab atas kecuaian yang dilakukan anggota bawahan hingga menyebabkan nyawa orang awam melayang begitu sahaja.

Merujuk kes remaja 15 tahun mati ditembak polis, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan Khalid Abu Bakar meletak jawatan jika gagal menyelesaikan kes melibatkan Aminulrashid Amzah dengan baik.

Beliau yang dimaklumkan mangsa sebenarnya berusia 14 tahun, berkata demikian ketika menziarahi keluarga mangsa di rumah mereka di Jalan Makyung, Seksyen 11 Shah Alam.

Beberapa ahli keluarga dan jiran mangsa menceritakan semula tragedi berkenaan kepada Kit Siang dengan nada hiba, dengan linangan air mata.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini turut meninjau lokasi kejadian yang terletak kira-kira 100 meter berjalan kaki dengan diiringi ahli keluarga dan jiran mangsa ke lokasi ini.

"Ketua Polis Selangor kena datang dan jumpa ahli keluarga dan jiran-jiran. Jangan dengar cakap sebelah pihak sahaja. Kalau tak berani datang, baik letak jawatan. Ketua Polis Negara juga patut letak jawatan," katanya.

Kit Siang juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menziarahi keluarga mangsa supaya memahami perasaan mereka dan bukannya menghantar wakil semata-mata.

"Dalam perkara ini saya harap bukan sahaja menteri datang untuk mengunjungi mangsa tetapi perdana menteri juga supaya benar-benar faham apa yang berlaku," katanya.

Tegas Kit Siang, polis seharusnya bukan satu ancaman kepada rakyat sebaliknya menjadi tanggungjawab polis untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama.

"Polis tidak seharusnya menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat. Mereka sebenarnya bertanggungjawab menjamin keselamatan rakyat. Sekarang mereka adalah ancaman kepada rakyat berdasarkan kenyataan jiran-jiran," katanya.

Tiada ulasan: