Rabu, 28 April 2010

Hilang sokongan Cina: Soi Lek persalahkan PERKASA

MERDEKA REVIEW



Presiden MCA Chua Soi Lek mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Ibrahim Ali yang meminta agar kerajaan mengetepikan janji-janjinya terhadap masyarakat Cina buat sementara.

Chua Soi Lek (gambar kiri) menegaskan bahawa, adalah wajar kalau dana kerajaan digunakan untuk pembangunan tempatan, kerana ia dimiliki rakyat. Ia tidak boleh digunakan untuk menghukum pengundi.

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri Najib Razak berhubung isu ini. PM telah menjamin bahawa BN tidak akan mengingkari janji yang dibuat terhadap pengundi Hulu Selangor semasa pilihan raya kecil," katanya.

Malah, kewujudan pertubuhan seperti PERKASA inilah yang telah mengakibatkan MCA menghadapi kesukaran ketika meraih sokongan masyarakat Cina, tambah Chua Soi Lek.

"Kami juga mahu mengingatkan semua orang politik, jangan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, terutama dalam isu yang menyentuh budaya, agama, kaum dan sebagainya, yang cukup untuk menyinggung kaum lain. Kenyataan sedemikian bercanggahan dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan PM," katanya.

Chua Soi Lek berkata, "Selagi negara kita masih mempunyai orang seperti Ibrahim Ali (gambar kanan, bersongkok dan berbaju merah), yang mahu menjadi wira kaumnya tanpa mempedulikan perasaan kaum lain, maka Malaysia tidak akan maju ke depan."

*Kenyataan media oleh Chua Soi Lek selaku Presiden MCA pada 27 April 2010. Diterjemah dari versi bahasa Cina.

Tiada ulasan: