Jumaat, 30 April 2010

Agihan kerusi seimbang bantu BN menang'

'Salhan K Ahmad



Pengagihan kerusi seimbang di kalangan kaum Melayu, Cina dan India digariskan sebagai salah satu daripada lima penyumbang utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, kata ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat tidak membuat pertimbangan seperti itu, menyebabkan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim tewas dalam pilihan raya kecil itu hujung minggu lalu.

"Kita lebih adil daripada pembangkang. Adilnya BN sebab letakkan calon India di Hulu Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jelasnya, seramai 52.7 peratus masyarakat Melayu diwakili oleh dua orang ADUN, bagi 50 peratus daripada jumlah kerusi di kawasan itu.

Seramai 26.3 peratus masyarakat Cina pula diwakili oleh seorang lagi ADUN, manakala kerusi parlimen pula diberikan kepada calon India, mewakili 14.3 peratus daripada masyarakat itu, katanya.

"Pembangkang letak calon Cina di DUN Kuala Kubu Bahru pada 2004. Pada 2008, mereka ambil tiga calon Melayu - 75 peratus daripada kerusi sebab letakkan tiga calon Melayu.

"Ini bermakna mereka tidak menghormati orang Cina. Yang adil sebenarnya ialah BN, jadi keadilan (dalam nama PKR) itu boleh buanglah sebab tidak adil," katanya.

Turut digariskannya ialah "kesepaduan jentera BN" termasuk jentera angkat dari kawasan dan juga negeri, selain usaha pengerusi parti itu sendiri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga turun padang untuk mendekati pengundi.

Menurut Ahmad lagi, kegagalan ahli parlimen terdahulu dalam membangunkan kawasan itu juga menyumbang kepada kemenangan BN, termasuk tahap pencapaian kerajaan negeri Selangor bawah Pakatan.

Kelima, katanya, ialah faktor calon BN (P Kamalanathan) orang Rawang yang terletak berdekatan dengan Hulu Selangor.

'Dia telah lakukan yang terbaik untuk berjumpa pengundi, jadi dia nampak sebagai calon yang dedikasi.

"(Zaid Ibrahim) masih dengan stigma bahawa dia orang Kota Bharu," kata Ahmad.

Tiada ulasan: