Khamis, 18 Mac 2010

Sidek Baba ganti Johan Jaafar di DBP?

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Sidek Baba belum menerima maklumat pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Desas-desus berhubung beliau akan menggantikan jawatan yang disandang Datuk Johan Jaafar sebelum ini, bagaimanapun sudah tersebar begitu meluas melalui siaran laman-laman dan blog-blog tertentu.

Dalam suatu kenyataan kepada erapakatan.com hari ini, beliau yang pernah menjadi Ketua Satu Penama (Persatuan Penulis Negeri Melaka) berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan desas-desus khabar itu kerana belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak secara bertulis.

"Saya tidak menerima apa-apa maklumat rasmi mengenainya.Saya tak tahu apa-apa perkembangan tentang hal itu, tetapi spekulasi mengenai perkara ini kuat diperkatakan menerusi blog-blog tertentu," kata beliau yang berada di Singapura ketika dihubungi tadi.

Mantan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Melaka dan Abim Pusat ini pernah menerima anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun lalu peringkat kebangsaan, selain diamanahkan sebagai Presiden Nafis (Nadwah Persuratan Islam Malaysia) sebelum ini.

Beliau turut terlibat sebagai penulis pojok Berita Harian, Utusan Malaysia, Majalah I serta diundang memberi pengisian di ruangan Santapan Rohani, Radio IKIM.fm dan program Santapan Minda, Selangor FM.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Akademik Pusat Matrikulasi UIA dan Dekan Pusat Matrikulasi daripada 1992 sehingga 1994.

Sejak 1994 hingga 2002, beliau yang mesra dikenali dalam kalangan mahasiswa sebagai 'Cikgu Sidek' telah dilantik sebagai Timbalan Rektor UIAM.

Penulis blog Muhammad Azli Shukri di bawah catatan berjudul, 'DBP 2010, Legasi JJ Berakhir' dalam blog beliau, mengalu-alukan kedatangan Sidek Baba dalam DBP menerusi tulisan tersebut.

"Risik-risik, antara calon yang layak menggantikan Datuk Johan Jaafar sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan direstui oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, ialah Dr Sidek Baba, seorang ahli akademik, penulis prolifik, pakar motivasi, pendidik dan ilmuan Islam yang tersohor.

"Namanya disebut-sebut sebagai calon paling berpotensi untuk mengembalikan semula DBP ke era emasnya. Saya percaya dan yakin, sama ada Kesatuan Sekerja DBP, mahu pun pihak pengurusan DBP, mereka bersedia dipimpin Sidek Baba, seorang yang jujur, amanah dan tidak bermain politik," tambah beliau.

Melalui tulisan tersebut, Muhammad Azli menyifatkan hal kemerosotan badan berkanun itu bermula dengan campurtangan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berhubung isu pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang menyebabkan wujudnya pergolakan antara pengurusan DBP dengan Kesatuan Sekerja DBP.

"Akhirnya, tambah beliau, " hal itu menyebabkan pekerja DBP berpecah kepada tiga puak."

Kumpulan pertama, tambahnya, adalah penyokong Johan Jaafar, sementara kumpulan kedua, memihak Kesatuan Pekerja DBP dan kumpulan ketiga adalah kumpulan yang mengambil sikap berkecuali.

"Teka-teki sama ada kontrak Johan Jaafar akan disambung atau tidak makin panas. Tempoh kontrak itu akan berakhir, Menteri Pelajaran masih belum memutuskan sama ada Johan Jaafar akan disambung kontraknya atau beliau boleh terus melupakannya," tambah Muhammad Azli.

Tiada ulasan: