Rabu, 31 Mac 2010

MEB: Matlamat ekonomi sejahtera sekadar retorik

Harakahdaily


KUALA LUMPUR,: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, objektif kesejahteraan ekonomi yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik jika kerajaan Persekutuan tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi.

Tambahnya, penerusan sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan Persekutuan.

“Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja,” ujarnya sebagai mengulas Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata MEB masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Katanya, sesebuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit hala tujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar, maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis, akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

“MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam.

“Objektif ini sangat murni tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

MEB itu juga, katanya merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

Tambahnya, apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.

Tiada ulasan: