Rabu, 31 Mac 2010

Khazanah Akan Jual Kepentingannya Dalam Pos Malaysia Dua Peringkat

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd akan menjalankan proses penjualan dua peringkat bagi pengangan kawalan 32.2 peratusnya dalam Pos Malaysia Bhd.

Proses penjualan strategik itu sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengumumkan Model Ekonomi Baharu di sini semalam.

Dalam satu kenyataan, Khazanah berkata, dalam peringkat pertama, aspek utama bagi persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia akan ditangani untuk memastikan kepentingan awam dan komersil adalah seimbang.

"Seperti yang ditunjukkan oleh kerajaan, ini dijangka akan termasuk, struktur kawal atur, penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat," katanya.

Pada peringkat kedua, Khazanah akan menjalankan proses bidaan untuk memilih pemegang saham kawalan berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.

Keperluan utama ialah bidaan yang layak harus dikawal oleh pihak Malaysia, dengan pertimbangan sewajarnya kepada kualiti rakan kongsi strategik dan teknikal yang mungkin membabitkan pihak asing.

"Peringkat pertama akan bermula serta merta, manakala peringkat kedua akan bermula setelah syarat-syarat pada peringkat pertama dipenuhi.

"Kedua-dua peringkat akan dibuat menerusi proses tadbir urus korporat yang betul dan dengan rundingan bersama semua kumpulan pemegang saham berkaitan," kata Khazanah.

"Dalam memilih Pos Malaysia sebagai calon bagi penjualan strategik, ini berikutan pertimbangan bahawa walaupun sebahagian daripada aktiviti Pos Malaysia kekal sebagai perkhidmatan awam yang penting, sebahagian besar aktivitinya kini didapati kurang penting berikutan perkembangan perkhidmatan komunikasi dan media moden," jelasnya.

Kelebihan unik Pos Malaysia dari segi lokasi dan jaringan juga menawarkan peluang penciptaan nilai yang kukuh dalam bidang logistik dan runcit yang mungkin lebih sesuai di bawah struktur milikan yang lain dengan syarat kepentingan awam dan pemegang saham tetap dilindungi.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, Khazanah terus komited kepada penciptaan nilai dalam pegangannya menerusi Program Perubahan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pada waktu yang sesuai, pengurangan pegangan bukan terasnya untuk merealisasikan perubahan ekonomi Malaysia di bawah MEB.

"Penjualan strategik pegangan kawalan Khazanah dalam Pos Malaysia yang dicadangkan ini akan dijalankan atas sebab itu, di mana pegangan penciptaan nilai akan diserahkan kepada pemegang saham kawalan yang akan dipilih dengan cara yang telus dan berasaskan merit," katanya.

Khazanah telah menjalankan penjualan pegangan aset bukan teras dan tidak berdaya saing secara berperingkat semenjak pertengahan 2004, melibatkan sejumlah RM18.4 bilion dalam 30 urus niaga, yang telah mendatangkan keuntungan sebanyak RM8.4 bilion. -

Tiada ulasan: