Selasa, 30 Mac 2010

54 Pelajar Malaysia Sahut Cabaran Belajar Mandarin Di Beijing

BERNAMA




Sebilangan daripada 54 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing. - foto BERNAMA

BEIJING: Tanpa mengetahui langsung bahasa Mandarin, sekumpulan anak muda Malaysia menyahut cabaran belajar bahasa itu di sebuah universiti terkemuka di sini dengan harapan untuk menjadi tenaga pengajar apabila pulang ke tanah air nanti.

Setelah lima bulan berada di sini, mereka mula membiasakan diri bukan sahaja dengan bahasa Mandarin tetapi juga penghidupan termasuk cuaca sejuk.

"Memang mulanya, kami merasa bimbang apabila ditawarkan untuk mempelajari bahasa Mandarin di sini tetapi Alhamdullillah, kami mula dapat menyesuaikan diri," kata Syazwan Shamim, 19, dari Melaka.

Beliau adalah antara kumpulan terkini 54 orang pelajar yang menerima tawaran Kementerian Pelajaran untuk belajar bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University (BFSU), yang terkenal dengan pengajian pelbagai bahasa dunia.

"Saya bertekad untuk belajar dengan tekun sehingga berjaya…inikan selaras dengan 1Malaysia yang rakyat saling memahami antara satu sama lain," kata Syazwan ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Niujie, masjid tertua dan terbesar di ibu negara China ini.

Muhaimi Razali, 21, dari Kelantan, berkata walaupun sukar, beliau akan berusaha gigih untuk mempelajari bahasa Mandarin.

"Saya bersedia menghadapi cabaran ini, sebab itu saya bersetuju mengikat kontrak dengan Kementerian Pelajaran selama lapan tahun sebelum datang ke mari," katanya.

Muhaimi berkata pengajiannya mengambil masa lima tahun dan dia bertekad tidak akan mensia-siakan peluang belajar bahasa itu. Penghantaran pelajar Malaysia ke universiti itu, yang menawarkan 36 bahasa pengajian termasuk bahasa Melayu, merupakan susulan kepada usaha untuk mengantarabangsakan sistem pelajaran Malaysia.

Ketika menjadi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat universiti itu pada 21 Mei 2007 dan menyaksikan perjanjian pertukaran pelajar antara Bahagian Pendidikan Guru kementerian itu dan BFSU.

Tiada ulasan: