Jumaat, 26 Februari 2010

YBK cabar keputusan pentadbir tanah

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan keputusan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor merampas dan menolak bayaran cukai beberapa bidang tanah milik YBK.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom menjelaskan, rayuan tersebut melibatkan 12 bidang tanah atas dasar mala fide atau niat jahat di pihak kerajaan negeri Selangor yang menyalahguna kuasa selepas permintaan mereka untuk merombak kepimpinan YBK ditolak.

''Rayuan ini melibatkan empat keping tanah yang ingin dilucuthak melalui satu notis bertarikh 2 Februari 2010 dan lapan keping tanah yang ditolak serta dikembalikan bayaran cukainya melalui surat bertarikh 3 Februari 2010.

"Secara ringkasnya, asas rayuan ini adalah Pentadbir Tanah Hulu Selangor tidak mematuhi peruntukan undang-undang dalam membuat keputusan tersebut, sebaliknya telah melepaskan kuasa dan budi bicaranya kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor," katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau menegaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merupakan satu pihak yang tidak mempunyai kuasa dan budi bicara di bawah Kanun Tanah Negara untuk membuat keputusan yang dicabar YBK itu.

Tambahnya, YBK juga akan mendedahkan bagaimana keputusan tersebut dibuat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan niat jahat yang dapat dilihat melalui perbuatan mereka memulangkan cukai yang telah dibayar sebelum itu.

Rayuan tersebut dibuat anak syarikat YBK, Permodalan YBK Sdn. Bhd. (PYBK) melalui peguambela dan peguamcara The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua, hari ini.

Isu melibatkan tanah YBK bermula dengan keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah, Rawang sehingga keputusan terpaksa diambil untuk memindahkan projek tersebut ke Semujuk, Melaka.

Ia diikuti tindakan memulangkan bayaran cukai tanah YBK berjumlah RM5.7 juta yang sebahagiannya dilunaskan dengan bantuan Yayasan Melaka dan tindakan merampas tanah berkenaan atas alasan pihak luar tidak boleh membayar bagi pihak YBK.

Tiada ulasan: